Skip to main content

Malaysia dapat PM ke-10 : Pasaran saham, ringgit melonjak tinggi

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara sebentar tadi.

KUALA LUMPUR 24 Nov - Pasaran saham tempatan melonjak tinggi dalam dagangan petang ini apabila Malaysia akhirnya menyaksikan pelantikan Perdana Menteri ke-10, setelah lima hari negara bergelut untuk membetuk Kerajaan Persekutuan baharu selepas pilihan raya umum ke-15, Sabtu lalu.

 

Dalam perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara sebentar tadi, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim ebagai Perdana Menteri Ke-10.

 

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri yang dijadual jam 5 petang ini di Istana Negara.

 

Ringgit mencatatkan hari terbaiknya dalam hampir dua minggu dan ekuiti meningkat 2% hari ini di tengah-tengah tanda-tanda kejayaan dalam kebuntuan politik.

 

Pada rehat tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 28.94 mata atau 2% kepada 1,472.44 mata daripada penutupan semalam, pada 1,443.5 mata.

 

Setakat 3 petang ini, indeks itu terus melonjak 47.24 mata atau 3.27% kepada 1,490.74 mata.

 

Mata wang tempatan pula melonjak tinggi hampir 1.5% dengan mengukuh melebihi RM4.55 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setakat 1 tengah hari tadi. 

 

Turut mendorong kenaikan mata wang tempatan itu adalah apabila pelabur mengalu-alukan berita positif daripada mesyuarat Rizab Persekutuan AS (Fed) pada November yang mana membayangkan bahawa momentum kadar kenaikan kadar faedah negara itu yang lebih perlahan selepas ini.

 

Menurut laporan Reuters, pakar strategi pasaran baharu muncul di Natwest Markets, Galvin Chia turut mengaitkan kenaikan ringgit terhadap keyakinan pasaran yang lebih luas, dengan kebanyakan aset Asia didagangkan lebih tinggi selepas minit terkini Fed meningkatkan jangkaan kenaikan kadar yang lebih sederhana.

 

"Sebahagian daripadanya adalah adil dan mengikuti pergerakan harga yang lebih luas. Dari satu aspek, semakin banyak memperkatakan tentang kemungkinan gabungan, manakala di sisi lain, terdapat sedikit keraguan untuk menyatakan betapa stabilnya mana-mana gabungan pemerintah ini pada akhirnya dan apakah maksudnya untuk dasar," katanya.

 

Sementara itu, Malacca Securities dalam nota kajiannya berkata, KLCI memperoleh keuntungan kecil dalam sesi yang tidak menentu di tengah-tengah sentimen bercampur-campur berikutan situasi yang tidak menentu dalam kancah politik.

 

Katanya, optimisme mengelilingi kelembapan dalam kenaikan kadar yang ditunjukkan dalam minit Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS mungkin merebak di seluruh pasaran serantau.

 

"Memandangkan Majlis Tertinggi UMNO telah memberi sokongan kepada kerajaan perpaduan untuk memastikan kestabilan negara, kami percaya pasaran mungkin bertukar lebih positif.

 

"Sementara itu, pelabur boleh mengalih tumpuan mereka daripada politik kepada kadar inflasi Malaysia dan musim laporan kewangan yang berterusan," jelasnya. - DagangNews.com