Kestabilan politik kunci pemulihan ekonomi Malaysia: Keupayaan BN terbukti, diyakini komuniti perniagaan – Ketua Pakar Ekonomi | DagangNews Skip to main content

Kestabilan politik kunci pemulihan ekonomi Malaysia: Keupayaan BN terbukti, diyakini komuniti perniagaan – Ketua Pakar Ekonomi

Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 27 Okt – Pemulihan ekonomi Malaysia dan Barisan Nasional pimpinan UMNO telah terbukti memenuhi jangkaan rakyat semasa pentadbirannya, terutamanya dalam kalangan komuniti perniagaan, kata Ketua Pakar Ekonomi Juwai-IQI, Shan Saeed.

 

"Lebih-lebih lagi setelah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengulangi komitmen parti bahawa Datuk Seri Ismail Sabri kekal sebagai calon BN. Ini dilihat sebagai isyarat kestabilan politik akan datang.

 

“Dan kestabilan politik adalah kunci kepada pemulihan ekonomi Malaysia,” kata beliau ketika ditanya apa yang komuniti perniagaan dan pelabur terutama pelabur luar negara mahu hasil dari Pilihanraya Umum ke 15 (PRU 15) yang bakal diadakan pada 19 November ini.

 

Shan berkata, Malaysia kini terus berada dalam radar dalam radar pelabur asing, walaupun pandemik COVID-19 kerana kerajaan mampu memulihkan ekonominya.

 

“Pelaburan langsung asing juga meningkat daripada RM14.6 bilion pada 2020 kepada lebih RM50 bilion pada 2021, manakala perdagangan juga melepasi sasarannya, katanya kepada DagangNews.Com di sini hari ini.


 

Shan Saeed
                                                   Shan Saeed

 


Shan berkata menurut data Bank Dunia, Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang baik walaupun ekonomi global tidak menentu dan itu bukti kerajaan BN berjaya menguruskan ekonomi negara.

Shan Saeed
Sumber: Bank Negara Malaysia https://data.worldbank.org/indicator/NY.GDP.MKTP.KD.ZG?locations=MYEconomist

 

 

Menurut Shan, keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berkembang 3.1 peratus pada tahun 2021 berbanding menguncup 5.7 peratus 2020. Kurang daripada jangkaan disebabkan peningkatan kes COVID-19 pada penghujung tahun 2021.

 

Bloomberg menyenaraikan Malaysia berada dalam kedudukan ke-18 negara terbaik di dunia dalam senarai ranking ketahanan COVID-19. Malaysia merupakan negara terbaik di Asia Tenggara dalam menangani pandemik berbanding Singapura berada di tangga ke-27, Thailand (31), Indonesia (44), Vietnam (47) dan Filipina (50).

 

Shan mempunyai lebih 20 tahun pengalaman pasaran kewangan dalam bidang perbankan persendirian, pengurusan risiko/pematuhan, pelaburan komoditi, ekonomi global, jenama dan strategi perniagaan.

 

Beliau berkata, pelabur global sedang mencari orang (pentadbir negara) yang berpengalaman yang telah terbukti sebelum ini berjaya mengekalkan keyakinan ekonomi.

 

Selain itu katanya, pelabur mempunyai keyakinan yang kukuh terhadap mereka yang telah menunjukkan prestasi dalam mencapai hasil ekonomi dengan dasar yang pragmatik dan kukuh.


 

dagangnews

 


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 19 November sebagai hari pengundian bagi  PRU15.

 

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November manakala bagi pengundian awal, tarikh ditetapkan ialah pada 15 November.

 

BACA - PRU15: BN dijangka menang paling banyak kerusi didorong pengundi Melayu serik dengan PH - penganalisis

 

Pada sidang media 20 Oktober lalu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh itu ditetapkan susulan pembubaran Parlimen ke-14 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober bagi memberi laluan kepada PRU-15.

 

Pembubaran itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. DagangNews.com