Kaji selidik UCSI: 55% responden dakwa kuasa membeli terjejas kesan kenaikan OPR | DagangNews Skip to main content

Kaji selidik UCSI: 55% responden dakwa kuasa membeli terjejas kesan kenaikan OPR

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Okt - Pusat Penyelidikan Undian UCSI mengeluarkan dapatan bahawa lebih 55% daripada 1,021 orang responden dewasa mendakwa kuasa membeli mereka terjejas kesan daripada kenaikan kadar dasar semalaman (OPR).

 

Daripada jumlah keseluruhan responden sebanyak 71% sedar dengan perubahan dibuat Bank Negara Malaysia terhadap OPR namun hanya 58% faham cara ia berfungsi. 

 

Menurut kaji selidik yang dijalankan, 58% berkata, OPR akan meningkatkan bayaran ansuran bulanan mereka dan 36% khuatir pinjaman bank mereka mungkin tidak diluluskan.

 

"Sebanyak 38% responden gembira kerana akan menerima lebih faedah daripada simpanan mereka. 

 

"Sementara 55% responden setuju kuasa beli mereka akan terjejas dan daripada jumlah itu, 64% menyatakan mereka tidak mahu berbelanja banyak manakala 36% berkata mereka akan menyimpan lebih jika OPR meningkat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kadar OPR secara kumulatif naik sebanyak 75 mata asas (bps) sebanyak tiga kali berturut-turut iaitu dari Mei hingga September 2022.

 

Kadar OPR dinaikkan sebanyak 25 mata asas pada 11 Mei 2022, daripada paras terendah dalam sejarah iaitu 1.75% sejak Julai 2020 kepada 2.00% diikuti kepada 2.25% (6 Julai 2022) dan 2.50% (8 September 2022).

 

Kadar faedah dalam sistem perbankan juga kekal stabil pada empat bulan pertama tahun ini sebelum diselaraskan seiring peningkatan OPR. - DagangNews.com