Eksport minyak sawit Malaysia melonjak disebabkan permintaan kukuh - Fadillah | DagangNews Skip to main content

Eksport minyak sawit Malaysia melonjak disebabkan permintaan kukuh - Fadillah

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Jan - Eksport minyak sawit dijangka meningkat 3.7% kepada 16.3 juta tan pada 2023 berbanding 15.72 juta tan pada tahun lalu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

 

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, ia berikutan permintaan minyak sawit yang berterusan daripada negara-negara pengimport seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Jepun, Bangladesh dan Mesir.

 

Beliau berkata, peningkatan kawasan tanaman sawit matang terutama di Semenanjung dan Sarawak serta keadaan cuaca yang baik adalah faktor yang mendorong kepada peningkatan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) pada tahun ini.

 

"Bagi terus mendorong perkembangan positif ini, pihak Kementerian juga akan memastikan proses kemasukan pekerja asing berjalan lancar dalam usaha menangani masalah kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

 

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) 2022 di Bangi, Selangor hari ini.

 

Menurut Fadillah, sebagai sebuah institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D), MPOB perlu memastikan bahawa produk sawit yang dihasilkan sentiasa berkualiti serta mampan. 

 

"Kita perlu tingkatkan kemampanan, produktiviti dan kualiti sebab antara cabaran yang kita hadapi selain penolakan Eropah ialah isu keselamatan makanan," katanya.

 

 

tpm
                                                               Datuk Seri Fadillah Yusof

 

 

fadillah
Datuk Seri Fadillah Yusof bergambar bersama para penerima anugerah pada Majlis Anugerah Kecemerlangan MPOB 2022 di Bangi, Selangor pada 31 Januari 2023. 

 

 

tpm

 

 

Tambahnya, dengan krisis makanan yang dihadapi oleh dunia, maka amat penting negara mengatur strategi supaya tidak bergantung semata-mata kepada penghasilan komoditi tetapi perlu mempelbagaikan produk hiliran bernilai tinggi. - DagangNews.com