CGS-CIMB : Kerajaan dijangka beri peruntukan subsidi lebih besar di bawah Bajet 2023 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB : Kerajaan dijangka beri peruntukan subsidi lebih besar di bawah Bajet 2023

Kuasa perbelanjaan pengguna dijangka lemah tahun ini di tengah-tengah persekitaran inflasi dan kitaran kenaikan kadar faedah. - Gambar : Facebook Fama Kelantan
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 31 Jan - CGS-CIMB Research menjangkakan kerajaan akan memperuntukkan bantuan subsidi yang lebih besar kepada rakyat dalam Bajet 2023 bagi menangani kos sara hidup yang semakin meningkat. 

 

Antara peruntukan itu termasuklah bantuan tunai secara langsung, pembayaran bantuan khas dan pemotongan cukai pendapatan peribadi serta kenaikan gaji minimum untuk mengurangkan sebahagian daripada peningkatan kos sara hidup.

 

Firma itu percaya kuasa perbelanjaan pengguna semakin melemah tahun ini di tengah-tengah persekitaran inflasi dan kitaran kenaikan kadar faedah. 

 

"Keadaan ini menyebabkan corak penggunaan yang lebih perlahan untuk barangan pengguna, terutama yang lebih memenuhi kehendak berbanding keperluan.

 

"Kami berpendapat Indeks Sentimen Pengguna (CSI) MIER yang menunjukkan tahap optimistik kekal di bawah 100 mata sejak suku ketiga 2022 mungkin berlarutan sehingga 2023," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan Bajet 2023 yang akan dibentang semula pada 24 Februari ini, memenuhi keperluan setiap lapisan rakyat.

 

Menegaskan intipati Bajet 2023 masih diperincikan, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan memberi jaminan pentadbirannya tidak akan meminggirkan mana-mana kumpulan masyarakat.

 

Bajet 2023 dibentang semula di Dewan Rakyat bulan depan susulan perubahan tampuk pentadbiran kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15), 19 November 2022.

 

Menurut CGS-CIMB, harga kos input dijangka semakin mereda tahun ini (iaitu harga bahan mentah yang lebih rendah, walaupun masih meningkat berbanding dengan tahap sebelum pandemik) disebabkan harga komoditi yang lebih rendah.

 

Penurunan ini disebabkan rantaian bekalan global beransur-ansur kembali normal, membawa kepada jumlah pengeluaran yang lebih tinggi, sekali gus meningkatkan dinamik penawaran-permintaan.

 

"Mengambil kira faktor ini, ditambah pula dengan penurunan kadar pengangkutan, kami percaya syarikat berkaitan pengguna akan mendapat manfaat, terutama pengeluar dan peruncit makanan dan minuman dari segi margin, kerana mereka juga telah menaikkan harga sejak setahun yang lalu.

 

"Bagaimanapun, kami sedar bahawa ini boleh diimbangi oleh peningkatan kos operasi (disebabkan kenaikan gaji minimum, kekurangan buruh, pengembangan yang agresif, peningkatan kos elektrik dan kos berkaitan ESG) dan jualan yang lebih perlahan, menyebabkan keuntungan margin terhad," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor pengguna dengan syarikat di bawah liputannya seperti CCK Consolidated Holdings Bhd., Kawan Food Bhd., Fraser and Neave Holdings Bhd. (F&N), Power Root Bhd. dan QL Resources Bhd. akan mendapat manfaat di sebalik perbelanjaan pengguna yang semakin menurun. - DagangNews.com