Caely failkan laporan polis terhadap 12 bekas pengarah termasuk pengasas syarikat | DagangNews Skip to main content

Caely failkan laporan polis terhadap 12 bekas pengarah termasuk pengasas syarikat

KUALA LUMPUR 6 Okt - Caely Holdings Bhd telah memfailkan laporan polis terhadap 12 pemegang saham, termasuk bekas pengarah urusan Datuk Chuah Chin Lai dan isterinya Datin Fong Nyok Yoon yang merupakan pengasas syarikat, kerana didakwa menyeleweng dana hampir RM31 juta.

 

Pemegang saham lain ialah Leong Seng Wui, Kok Kwang Lim, Valhalla Capital Sdn Bhd, Goh Choon Kim, Chin Boon Long, Chong Loong Men, Hong Seng Capital Sdn Bhd, Goh Choon Heng, Luhur Sejahtera Sdn Bhd, dan Zaidi Zainudin.

 

“Caely telah mengarahkan peguam pada 5 Okt 2022 supaya membuat laporan polis dan meminta polis menyiasat sebarang kemungkinan unsur jenayah serta penyelewengan dana yang disyaki yang telah menyebabkan kerugian kepada Caely, dan juga penyembunyian penyelewengan oleh anggota lembaga pengarah terdahulu,” kata kumpulan itu dalam pemfailan Bursa Malaysia.


 

Datin Fong Nyok Yoon
   Datin Fong Nyok Yoon

 


Pada 26 Ogos, pembuat pakaian dalam yang bermasalah telah memfailkan saman terhadap 12 pemegang saham bagi menuntut pemulangan dana itu.

 

Saman itu difailkan oleh lembaga pengarah Caely ketika itu, tujuh daripadanya - termasuk pengerusi ketika itu Datuk Loh Ming Choon - telah disingkirkan oleh Leong, Kok, dan Valhalla Capital selepas keputusan Mahkamah Tinggi pada 29 Ogos.

 

BACA: Caely saman bekas MD, 11 pemegang saham lain atas dakwaan seleweng RM31 juta

 

Caely, bersama anak syarikat milik penuhnya Caely (M) Sdn Bhd, mendakwa Chuah dan Fong telah menyalahgunakan RM30.55 juta daripada anak syarikat itu melalui 10 transaksi pihak berkaitan yang boleh dipersoalkan.

 

Sehingga 25 Mei, Chuah mempunyai 5.66% kepentingan dalam Caely dan merupakan MD kumpulan itu antara Oktober 2002 dan April 2021, manakala Fong — yang masih menduduki lembaga pengarah sebagai pengarah bukan eksekutif — memiliki 7.4% kepentingan.

 

Caely mendakwa dalam saman itu bahawa 10 lagi pemegang saham telah bersubahat dengan Chuah dan Fong untuk menutup dakwaan penyelewengan dan pelanggaran kewajipan fidusiari.

 

ARTIKEL BERKAITAN : Caely mohon maaf kepada Jovian Mandagie, Sandraruben - sah tiada dokumen pelantikan sebagai lembaga pengarah

 

Saham Caely ditutup naik satu sen atau 3.57% pada 29 sen, menilai kumpulan itu pada RM74.89 juta. - DagangNews.com