BN ambil maklum kenyataan parti komponen, minta pelihara adab - Zambry | DagangNews Skip to main content

BN ambil maklum kenyataan parti komponen, minta pelihara adab - Zambry

Mesyuarat BN dipengerusikan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 22 November 2022.

KUALA LUMPUR 24 Nov - Ibu pejabat Barisan Nasional (BN) mengambil maklum tentang beberapa kenyataan media yang telah dikeluarkan oleh parti komponen Barisan Nasional (BN) yang tular di media massa dalam negara.

 

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sebarang cadangan dan usul yang telah dikemukakan di dalam peringkat mesyuarat akan dimuktamadkan sepenuhnya oleh mesyuarat Dewan Tertinggi BN menurut peraturan dan perlembagaan Barisan Nasional.

 

"Pihak ibu pejabat menasihati semua pihak untuk terus memelihara solidariti dan semangat muafakat yang telah lama terbina di dalam Barisan Nasional bagi memastikan kesejahteraan dan kerukunan serta toleransi di kalangan parti-parti Anggota dan parti-parti Bergabung Barisan Nasional.

 

"Barisan Nasional berpegang kepada prinsip saling menghormati dalam menangani sebarang isu yang dihadapi.

 

"Justeru, adab dalam menyatakan dan mengeluarkan sebarang kenyataan hendaklah dipelihara dengan sebaik-baiknya agar tidak menimbulkan salah faham. Ini termasuklah hal-hal yang dibincangkan di dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - DagangNews.com