Batik Air lancar laluan penerbangan KL ke Sapporo dan Osaka mulai 3 Januari 2023 | DagangNews Skip to main content

Batik Air lancar laluan penerbangan KL ke Sapporo dan Osaka mulai 3 Januari 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Dis - Batik Air akan melancarkan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Sapporo dan Osaka melalui Taipei masing-masing mulai 3 Januari dan 20 Januari 2023. 

 

Penerbangan baharu itu digunakan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk perjalanan antara Malaysia dan Jepun.

 

Sempena dengan pelancaran laluan baharu ke Jepun, Batik Air menawarkan tiket tambang promosi yang kini boleh ditempah untuk Kuala Lumpur ke Sapporo dari serendah RM1,590 untuk kelas ekonomi. 

 

Untuk penerbangan dari Taipei ke Sapporo, tambang kelas ekonomi sehala promosi bermula dari NT$4,695.

 

Tambang promosi kelas ekonomi dari Sapporo ke Kuala Lumpur bermula dari JPY57,300. Manakala, untuk penerbangan dari Sapporo ke Taipei, tambang kelas ekonomi sehala bermula dari JPY22,010.

 

Selain itu, tambang kelas ekonomi sehala promosi dari Kuala Lumpur ke Osaka bermula dari RM1,590, manakala tambang dari Taipei ke Osaka bermula dari NT$4,695. 

 

Tambang sehala dari Osaka ke Kuala Lumpur bermula dari JPY57,300 untuk kelas ekonomi. Untuk penerbangan dari Osaka ke Taipei, tambang kelas ekonomi sehala bermula dari JPY22,010.

 

Pesawat terbaharu B737-8 akan digunakan untuk kedua-dua laluan, termasuk semua tambang adalah termasuk elaun bagasi 20 kilogram.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri berkata, dengan pelancaran laluan ini ke Sapporo dan Osaka, Batik Air sangat optimistik dengan pertumbuhan pasaran ke negara matahari terbit. 

 

Beliau berkata, sebagai tambahan kepada 4X penerbangan mingguan ke Osaka dan 3X penerbangan mingguan ke Sapporo, Batik Air merancang untuk meningkatkan penerbangan ke Tokyo kepada 7X mingguan. 

 

"Menjelang Mac tahun depan, Batik Air akan mempunyai gabungan 14 penerbangan mingguan antara Malaysia dan Jepun," katanya.

 

Tambahnya, Batik Air komited mencipta lebih banyak pilihan dalam perhubungan serantau dan memanfaatkan potensi pelancongan besar dengan pengenalan laluan ke Jepun yang pastinya akan menjadi sokongan menggalakkan kepada industri pelancongan kedua-dua Malaysia dan Jepun. - DagangNews.com