MBSB Bank ikrar komitmen penuh ke arah integriti | DagangNews Skip to main content

MBSB Bank ikrar komitmen penuh ke arah integriti

Datuk Nor Azam M. Taib mengetuai pasukan pengurusan Bank MBSB melafazkan Ikrar Integriti Korporat disaksikan oleh Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi pada 31 Januari 2023. - Gambar MBSB
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 1 Feb – MBSB Bank Berhad berikrar untuk mengekalkan komitmen terhadap tahap akauntabiliti dan ketelusan yang tinggi dengan menandatangani Ikrar Integriti Korporat.

 

Dengan menandatangani ikrar itu, MBSB Bank memberikan komitmennya bahawa bank menyokong Prinsip Pencegahan Rasuah untuk Perbadanan di Malaysia dan ia menegakkan dasar toleransi sifar terhadap rasuah.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, sebagai sebuah institusi kewangan Islam, pihaknya sedar bahawa tanggungjawab berada di atas bank itu untuk menegakkan dan memupuk nilai-nilai murni termasuk integriti.

 

Menurut beliau, bank itu juga telah melaksanakan banyak langkah proaktif untuk menginstitusikan budaya integriti termasuk ketelusan dalam urusan perniagaan, pematuhan ketat terhadap perundangan dan peraturan serta standard etika yang tinggi.

 

“Majlis ini merupakan satu inisiatif yang menunjukkan kesungguhan dan komitmen kakitangan MBSB Bank dalam memerangi rasuah dan mengamalkan tadbir urus yang baik dalam kerja harian kita,” tambahnya.


 

MBSB
Datuk Nor Azam M. Taib menandatangani Ikrar Integriti Korporat disaksikan oleh Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi pada 31 Januari 2023. - Gambar MBSB

 


Majlis tersebut telah diadakan pada 31 Januari 2023 di Menara MBSB Bank di PJ Sentral dan telah dirasmikan oleh Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia. - DagangNews.com