Bank Islam unjur dua kali kenaikan OPR tahun ini, dengan ringgit catat prestasi lebih baik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank Islam unjur dua kali kenaikan OPR tahun ini, dengan ringgit catat prestasi lebih baik

Oleh ZUNAIDAH ZAINON dan DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Jan - Bank Islam Malaysia Bhd. menjangkakan dua kali kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 50 matas asa (bps) menjadikannya kepada 3.25% dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada Januari dan Mac 2023.

 

Ketua Ekonominya, Firdaos Rosli berkata, bagaimanapun, kadar itu dijangka kekal sepanjang separuh kedua tahun ini tanpa mengambil kira peningkatan risiko kemerosotan ekonomi dunia.

 

Jelasnya, mengekalkan OPR yang rendah untuk jangka masa yang lama akan menyebabkan ketidakseimbangan makroekonomi ekoran perbelanjaan yang berlebihan.

 

"Kenaikan OPR yang berkala akan memberi kesan ke atas kos pinjaman kepada ekonomi Malaysia, namun ia perlu dilakuan untuk menghapuskan kemudahan monetari yang berlebihan secara beransur-ansur berbanding meredakan inflasi," katanya dalam pembentangan prospek ekonomi 2023, hari ini. 

 

MPC BNM dijadualkan mengadakan mesyuarat pertamanya bagi 2023 mulai hari ini dan esok.


 

Firdaos Rosli
                                  Firdaos Rosli

 


Pada 2022, bank pusat telah menaikkan kadar itu sebanyak 100 bps kepada 2.75% daripada paras terendah dalam sejarah pada 1.75% akibat pandemik COVID-19.

 

Dalam pada itu, Firdaos menjangkakan asas ekonomi negara yang kukuh akan meningkatkan sedikit fiskal defisit di antara 4% dan 4.5% daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini berbanding 4.5% pada tahun lepas.

 

"Kami berpendapat kerajaan baharu akan memacu ekonomi melalui kelembapan global, mengelak kemelesetan pada 2023," jelasnya.

 

Beliau juga berkata, negara akan mencatat pertumbuhan KDNK yang sederhana tahun ini sekitar 4.5%, berbanding negara serantau yang lain.

 

Malah, Bank Dunia turut meramalkan perkara yang sama di mana Malaysia dijangka mengalami peningkatan pertumbuhan pada 4% tahun ini berbanding 7.8% pada 2022.

 

Mengulas mengenai ringgit, beliau menjangkakan mata wang tempatan itu akan mencatat prestasi yang lebih baik pada tahun ini. 

 

Katanya, nilai ringgit yang lemah berbanding dolar AS dapat merangsang perdagangan asing. 

 

"Ringgit juga boleh meningkat secara beransur kerana Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka kurang agresif dalam kenaikan kadarnya.

 

"Kami optimis pertumbuhan domestik yang berdaya tahan dan pembukaan semula ekonomi China yang rancak dapat menyokong nilai ringgit," jelasnya.

 

Mengambil kira faktor tersebut, beliau mengunjurkan ringgit akan berlegar pada paras RM4.28 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini daripada RM4.40 pada 2022. – DagangNews.com