Arahan peruntukan RM10 juta daripada Syed Mokhtar kepada pesawah dilakukan untuk kepentingan rakyat - Anwar | DagangNews Skip to main content

Arahan peruntukan RM10 juta daripada Syed Mokhtar kepada pesawah dilakukan untuk kepentingan rakyat - Anwar

Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary (kiri) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR 6 Dis - Arahan Kerajaan Persekutuan untuk syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) menyalurkan peruntukan RM10 juta kepada pesawah miskin bulan ini dan RM50 juta tahun hadapan, bukan bertujuan merobohkan empayar perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

 

Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia dilakukan untuk kepentingan rakyat dan pesawah miskin termasuk di Kedah, lapor Berita Harian.

 

Beliau berkata, langkah yang diambilnya itu serta Kementerian Kewangan adalah untuk mencari jalan penyelesaian.

 

Katanya, Syed Mokhtar sendiri bersetuju dengan mudah.

 

"Saya ucap terima kasih kepada dia tetapi saya kata untuk menjamin masa depan pesawah miskin saya ambil langkah untuk berunding dengan dia dan cuba bantu," katanya pada sidang media di Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.

 

Anwar berkata, kelulusan itu dibuat selepas berunding dengan Syed Mokhtar.

 

Beliau berkata, Syed Mokhtar boleh membuat keuntungan melalui perniagaannya dalam sektor lain termasuk Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

 

Katanya, beliau memberi jaminan untuk Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan mencari jalan menyelesaikan sebarang masalah dihadapi di mana-mana pelabuhan di Johor.

 

Justeru, Anwar mengingatkan semua pihak untuk tidak mempolitikkan isu monopoli import beras yang dikuasai Syed Mokhtar.

 

Pada masa sama, Anwar berkata, pihaknya akan berunding dengan Syed Mokhtar mengenai cara untuk BERNAS boleh memberi jaminan keselesaan dan keadilan kepada pesawah padi yang miskin.

 

Anwar sebelum ini membidas tindakan kerajaan ketika itu melanjutkan tempoh konsesi BERNAS yang mempunyai kuasa untuk memonopoli import beras.

 

"Saya tak faham mengapa ini menjadi masalah. Sudah berpuluh tahun dah BERNAS ini, ini kali pertama saya kata 'enough is enough'," katanya. - DagangNews.com