Aqil Ahmad Azizuddin dilantik sebagai pengerusi baharu MBM Resources | DagangNews Skip to main content

Aqil Ahmad Azizuddin dilantik sebagai pengerusi baharu MBM Resources

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 1 Feb - MBM Resources Bhd melantik Aqil Ahmad Azizuddin sebagai pengerusi baharunya berkuat kuasa serta-merta, menggantikan Datuk Dr Aminar Rashid Salleh.

 

Aqil, 64, bukan orang asing dalam kumpulan itu, kerana dia pernah menganggotai lembaga pengarah dari 2001 hingga 2017, dan kini pengerusi Med-Bumikar MARA Sdn Bhd dan Daihatsu (Malaysia) Sdn Bhd.

 

Aqil juga ahli lembaga pengarah dalam Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd dan Perodua Sales Sdn Bhd, kata MBM Resources dalam pemakluman di Bursa Malaysia.

 

Dalam pemfailan berasingan, MBM Resources mengumumkan pelantikan Nik Fazila Nik Mohamed Shihabuddin sebagai pengarah bebas bukan eksekutif.

 

Nik Fazila kini menganggotai lembaga pengarah FGV Holdings Bhd dan MSM Holdings Bhd.


 

Nik Fazila Nik Mohamed Shihabuddin
                               Nik Fazila Nik Mohamed Shihabuddin

 


Sebelum itu, beliau adalah pengarah urusan kumpulan dan ketua pegawai kewangan kumpulan (CFO) Chemical Company of Malaysia Bhd.

 

Nik Fazila juga pernah berkhidmat sebagai CFO di Biotropics Malaysia Bhd, sebuah syarikat penerima pelaburan Khazanah Nasional Bhd, dan UDA Holdings Bhd.

 

Saham MBM Resources ditutup tiga sen atau 0.8% lebih rendah pada RM3.49, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran RM1.36 bilion. - DagangNews.com