KUALA LUMPUR 12 Dis - RHB Investment Bank memberi nilai wajar pada RM1.19 sesaham terhadap Ancom Nylex Bhd. memandangkan permintaan produknya terus mendapat permintaan dalam pasaran di sebalik pengeluaran kimia perindustrian yang perlahan.
Baru-baru ini, syarikat pengeluar produk perindustrian itu melancarkan Ester, produk yang disasarkan untuk pasaran Australia, yang dilihat tepat pada masanya untuk memperoleh jangkaan pertumbuhan 3% pasaran bijirin di Australia pada tahun depan.
Kumpulan juga dijangka melancarkan Chemical T untuk tanaman tebu di Brazil (yang menuai paling banyak tebu di seluruh dunia), Afrika Selatan, Australia dan Amerika Syarikat (AS) manakala Indonesia (Bromacil, ialah produk Ancom yang didaftarkan di negara ini) merupakan pengeluar nanas kedua terbesar di dunia.
Firma itu mengunjurkan Ancom akan mencatatkan hasil dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 26.1% selama tiga tahun bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2022 (FY22) hingga FY25 terutamanya dengan larangan penggunaan paraquat di Thailand dan Brazil.
Katanya, ini didorong aliran pendapatan baharu dan penjimatan kos daripada tambahan kepentingan dalam perniagaan dan pengenalan bahan kimia ramuan aktif (AI) pertanian baharu.
"Kami percaya penilaian Ancom adalah murah berdasarkan kepada penyertaannya di peringkat global dan kedudukan utamanya dalam AI kimia pertanian serta potensi pertumbuhan pendapatannya lebih tinggi daripada purata pemain industri lain.
"Malah, pengurusan juga menjangkakan untuk meraih pasaran yang lebih besar di Thailand dan menembusi pasaran Brazil (memandangkan pengguna mencari ganti kepada penggunaan paraquat) selepas memasukkkan dua lagi barisan pengeluaran untuk produknya, Diuron dan monosodium methanearsonate (MSMA)," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada 2020, Thailand dan Brazil menyertai 29 lagi negara untuk mengharamkan penggunaan paraquat, racun rumpai yang toksik kepada manusia dan haiwan.
Larangan itu telah mewujudkan kekosongan yang besar di pasaran Thailand dan Brazil. Sementara itu, dua rumusan Ancom iaitu Dasaflo dan Monex HC dikenal pasti sebagai pengganti yang hampir menyamai paraquat tetapi selamat.
Menurut RHB Investment, Ancom berusaha untuk meningkatkan rangkaian produknya dengan melancarkan lebih banyak AI ke pasaran secara progresif.
Katanya, kilang baharu kumpulan di Klang dengan keluasan 70,000 kaki persegi akan menempatkan pengeluaran baharu AI yang dijangka menjana jualan tahunan berjumlah RM139 juta.
"Sebagai pengeluar tunggal AI di Asia Tenggara, ditambah dengan pendaftaran produk globalnya, Ancom memperkukuhkan kuasa penetapan harga dan keupayaan pengedarannya dengan menjual silang produk baharu kepada pelanggan dan negara sedia ada," jelasnya. - DagangNews.com








