Co-op Bank Pertama sasar pendapatan RM410 juta pada 2022 | DagangNews Skip to main content

Co-op Bank Pertama sasar pendapatan RM410 juta pada 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Jan - Co-op Bank Pertama (CBP) menyasarkan pendapatan sebanyak RM410 juta dengan pendapatan daripada pembiayaan dijangka menyumbang sebanyak RM297 juta pada 2022.

 

Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi berkata, jumlah itu bersamaan 72% yang menyumbang kepada pendapatan operasinya.

 

Beliau berkata, sentiasa optimis merealisasikan sasaran berkenaan dengan kepelbagaian produk sedia ada dan juga perancangan yang dilakukan oleh pengurusan akan mampu untuk menarik lebih ramai pelanggan serta meningkatkan lagi pendapatan.

 

"Ini berdasarkan pencapaian sehingga November 2021, dengan perkhidmatan Ar-Rahnu mengeluarkan pembiayaan sebanyak RM254.22 juta iaitu melebihi pencapaian 2020 dan kami jangkakan pengeluaran ini dapat mencecah RM300 juta pada akhir Disember ini.

 

"Walaupun berhadapan dengan situasi ekonomi yang mencabar dan tidak menentu, saya melihat ini adalah pencapaian yang positif dan yakin, tahun kewangan 2021 akan mencipta satu lagi rekod baharu untuk CBP," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau juga tidak menafikan, pembiayaan dan Ar-Rahnu adalah penyumbang utama kepada keuntungan CBP selain daripada pembiayaan lain seperti pembiayaan perumahan, deposit tetap, sukuk dan sebagainya.

 

cbp
Datuk Baharom Embi

 

“CBP akan terus mempromosikan semua produk dan dalam masa yang sama, kami juga merancang dan merangka untuk memperkenalkan produk baharu seiring dengan apa yang dikehendaki oleh masyarakat,” katanya.

 

Selain itu, beliau fokus untuk memantapkan lagi Pelan Strategik Lima Tahun CBP yang memberi tumpuan kepada lima agenda iaitu kepelbagaian produk dan perkhidmatan; peningkatan kecekapan operasi; pengukuhan pemantauan dan kawalan; alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan amalan budaya kerja berprestasi tinggi.

 

cbp

 

"Menerusi pelan yang akan berakhir pada 2025 ini, ia akan melonjakkan jenama CBP sebagai bank koperasi yang terunggul di Malaysia menjelang 2026.

 

"Beberapa produk dan model perniagaan baharu dijangkakan akan diperkenalkan melalui pelan strategik ini yang akan disesuaikan mengikut keperluan anggota serta pelanggan supaya jenama CBP terus mendapat tempat di hati rakyat," katanya.

 

Beliau berkata, petunjuk prestasi utama (KPI) yang lebih holistik akan ditetapkan bagi memastikan sasaran yang ditetapkan berjaya dicapai. - DagangNews.com