CIMB lantik Chu Kok Wei, Novan Amirudin sebagai CEO Bersama Perbankan Borong | DagangNews Skip to main content

CIMB lantik Chu Kok Wei, Novan Amirudin sebagai CEO Bersama Perbankan Borong

Chu Kok Wei (kiri) dan Novan Amirudin

KUALA LUMPUR 22 Jun - CIMB Group Holdings Bhd. melantik Chu Kok Wei dan Novan Amirudin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bersama bagi perniagaan Perbankan Borong Kumpulan berkuat kuasa 18 Julai 2022. 

 

Kedua-duanya akan mengetuai tonggak perniagaan tertentu dalam Perbankan Borong tetapi akan bertanggungjawab bersama untuk keseluruhan perniagaan Perbankan Borong. 

 

Dalam kenyataan hari ini, CEO Kumpulan CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad mengalu-alukan penyertaan Kok Wei dan Novan dalam menerajui perniagaan Perbankan Borong Kumpulan. 

 

Beliau menyifatkan pelantikan Kok Wei mencerminkan kekuatan dan kepakaran dalam kepemimpinan sedia ada, manakal pelantikan Novan pula akan memperkenalkan perspektif baharu dan melengkapi rangkaian yang akan membantu membina francais Perbankan Borong terkemuka.

 

"Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan kedua-duanya sebagai ketua bersama dalam memacu pertumbuhan Perbankan Borong dan perniagaan rangkaian ASEAN kami di peringkat serantau sejajar dengan pelan strategik Forward23+,” katanya.

 

Kok Wei kini berkhidmat sebagai Ketua Kumpulan Perbendaharaan dan Pasaran CIMB Group, dan dengan pelantikan itu, beliau akan terus mengetuai Kumpulan Perbendaharaan dan Pasaran dengan tanggungjawab tambahan di bawah Kumpulan Institusi Kewangan (FIG). 

 

Beliau telah bersama kumpulan CIMB hampir 20 tahun, dengan memegang pelbagai jawatan penting sejak 2003, antaranya Ketua Dagangan Kadar Faedah-Pasaran Hutang dan Derivatif. 

 

Sebagai CEO Bersama Kumpula Perbankan Borong, Novan akan menyelia Perbankan Swasta dan Pelaburan Kumpulan, Liputan Korporat, Kumpulan Sektor Awam dan Kerajaan serta Perbankan Korporat Kumpulan. 

 

Novan menyertai CIMB daripada sebuah bank pelaburan global, di mana beliau pernah menjadi Ketua Pasaran Modal Ekuiti untuk Asia Tenggara dan Ketua Perbankan Pelaburan Malaysia.

 

Beliau memiliki pengalaman selama 18 tahun dalam Pelaburan Perbankan dan Kewangan Korporat merentasi Kuala Lumpur, Jakarta dan Singapura dengan pengalaman luas dalam perlindungan pelanggan, penggabungan dan pengambilalihan (M&A), tawaran awam, penempatan persendirian, penyelesaian derivatif dan pembiayaan bank. - DagangNews.com