CGS-CIMB Research jangka prospek pertumbuhan SAM Engineering and Equipment positif | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB Research jangka prospek pertumbuhan SAM Engineering and Equipment positif

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Ogos - CGS-CIMB Research menjangkakan prospek pertumbuhan positif bagi SAM Engineering and Equipment Berhad didorong pemulihan dalam segmen aeroangkasa.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu terus melihat peningkatan permintaan untuk produk pesawat A320neo, B737Max dan A220.

 

Mereka menganggarkan tunggakan pesanan kumpulan itu melebihi RM4.8 bilion dengan majoritinya diperuntukkan kepada segmen aeroangkasa.

 

"Kami percaya ia boleh diterjemahkan kepada peningkatan tempahan yang sihat untuk kumpulan itu.

 

"Sementara itu, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) melaporkan bahawa perjalanan udara global pada Jun 2022 pulih kepada 71% daripada tahap pra-pandemik (2019).

 

"Oleh itu, kami menjangkakan prospek pemulihan yang lebih kukuh untuk bahagian aeroangkasa kumpulan pada masa hadapan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu meningkat sebanyak 96.43% kepada RM23.53 untuk suku pertama berakhir 30 Jun 2022 berbanding RM11.98 pada tahun sebelumnya didorong oleh sumbangan daripada bahagian aeroangkasa dan peralatan.

 

Hasil kumpulan juga melonjak sebanyak 74.56% kepada RM353.97 juta pada 1QFY22 daripada RM202.78 juta.

 

Peningkatan keuntungan kumpulan sebelum cukai sebanyak RM13.8 juta adalah disebabkan sumbangan daripada segmen aeroangkasa dan peralatan masing-masing sebanyak RM4.2 juta dan RM9.6 juta, hasil daripada jualan yang lebih tinggi dan tukaran mata wang asing yang menggalakkan.

 

Firma itu berkata, pengembangan kilang Ayutthaya sedang berjalan dengan baik dan kumpulan itu sedang memindahkan produk peralatannya dari Pulau Pinang ke sana dengan menyasarkan untuk memulakan operasi fasa pertama menjelang akhir CY23.

 

"Kami menyemak turun penarafan kepada 'pegang' daripada 'tambah' dengan harga sasaran lebih tinggi RM4.45 berbanding RM3.80 sesaham," katanya. - DagangNews.com