Skip to main content

Cainiao Aeropolis perkukuh kedudukan KLIA

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Nov -  Hab elektronik World Trade Platform (eWTP) Cainiao Aeropolis yang dilancarkan hari ini bakal meletakkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai pusat pengedaran serantau di pasaran Asia Pasifik.

 

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, hab itu mengalu-alukan beberapa operator logistik kargo sebagai peserta logistik kontrak, dengan menyediakan ruang untuk pelanggan seperti pengendali kargo dan syarikat peruncitan elektronik.

 

Katanya, dengan ruang gudang sebesar 1.1 juta persegi, hab itu berupaya mengendali dengan lebih pantas selain turut menawarkan perkhidmatan nilai tambah seperti pengeluaran, pemasangan, baik pulih dan pemulangan logistik.

 

"Ia akan menjadikan tempat ini sebagai pusat pengedaran ke seluruh rantau, sekali gus akan membawa jumlah baharu untuk kami," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Taambahnya, hab itu yang memulakan operasinya pada November tahun lalu, ditubuhkan dengan kerjasama 30:70 antara MAHB dan Alibaba Group dengan pelaburan RM500 juta.

 

Dalam seluruh perkampungan kargo KLIA, terdapat kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada operator terminal kargo, penghantar fret dan syarikat penerbangan kargo.

 

Iskandar Mizal berkata, pengendali lapangan terbang itu berharap akan menerima 10 operator baharu ke hab berkenaan terutama daripada pasaran vertikal peruncitan elektronik, automotif, farmaseutikal, telekomunikasi, barangan sukan dan segmen fesyen laris. -DagangNews.Com