Caely tidak terima arahan pembekuan akaun secara terus SPRM | DagangNews Skip to main content

Caely tidak terima arahan pembekuan akaun secara terus SPRM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 April - Pengeluar pakaian dalam wanita, Caely Holdings Berhad menegaskan bahawa mereka tidak menerima surat rasmi mengenai arahan pembekuan semua akaun bank kumpulan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

 

Caely dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, arahan pembekuan akaun itu hanya diketahui menerusi notis daripada CIMB Bank pada 13 April 2022 

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Caely Lim Chee Pang berkata, pihaknya sudah bertemu dengan pihak berkuasa dan akan mencari jalan terbaik bagi memastikan akaun bank mereka dilepaskan daripada pembekuan bagi memastikan operasi perniagaan dapat diteruskan.

 

"Kami mengesahkan bahawa kami sudah berhubung dengan pihak berkuasa dan bersedia memberikan apa sahaja kerjasama atau bantuan yang diperlukan bagi menyelesaikan perkara ini

 

"Kami perlu memberi penjelasan kepada pemegang saham mengenai cara perniagaan dijalankan dan lembaga pengarah sedang memantau perkara itu serta bekerjasama bersama pengurusan bagi memastikan akaun itu tidak dibekukan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Isnin lalu, Caely mengumumkan bahawa pihak berkuasa telah mengeluarkan perintah pembekuan untuk membekukan operasi semua akaun bank Caely Group of Companies.

 

caely
Lim Chee Pang

 

Chee Pang berkata, pihak pengurusan masih menilai impak daripada perintah pembekuan bank akaun dan berusaha memastikan operasi harian tidak terjejas. 

 

"Buat masa sekarang pembekuan akaun itu memberi kesukaran kepada kakitangan Caely serta pembekal dan vendor," katanya.

 

Caely bermula dengan perniagaan jualan langsung pakaian dalam wanita secara berskala kecil sebelum disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan mempunyai kilang dan bangunan sendiri terletak di Teluk Intan, Perak.

 

Destinasi eksport utama Caely untuk produk pakaian dalam di bawah pengeluar barangan tulen (OEM) ketika ini ialah Jerman, Amerika Syarikat dan Kanada, namun, baru-baru ini pihaknya mula mendapat lebih banyak pertanyaan daripada syarikat di Turki, Perancis dan Australia.

 

Caely, yang ditubuhkan pada 1986 turut memperuntukkan RM5 juta sebagai modal kerja pada Oktober 2021 untuk mempelbagaikan produk termasuk pengeluaran pelitup muka fabrik. - DagangNews.com