KUALA LUMPUR 16 Julai - SHH Resources Holdings Bhd bercadang membeli 51% kepentingan di dalam Stellar Jewel Mining Sdn. Bhd. daripada Sa Yijiao pada harga RM4 juta sebagai langkah mempelbagaikan sumber pendapatannya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat pengeluar perabot berasaskan kayu itu berkata, Stellar Jewel menjalankan aktiviti perlombongan emas, perlombongan bijih logam bukan ferus serta eksport dan import bijih logam bukan ferus.
Cadangan pengambilalihan itu selaras dengan strategi jangka panjang kumpulan untuk mempelbagaikan portfolio perniagaan dan mewujudkan sumber pendapatan berulang yang baharu.
Ceburi industri perlombongan emas
SHH berkata, sebaik sahaja urus niaga itu dimuktamadkan, Stellar Jewel akan menjadi anak syarikat tidak langsungnya, sekali gus membolehkan kumpulan itu menyertai sektor perlombongan emas huluan menerusi hak perlombongan kontrak sedia ada yang dimiliki syarikat tersebut.
Menurut SHH, pengambilalihan itu juga dijangka mengukuhkan asas pendapatan kumpulan dengan mengurangkan kebergantungan kepada perniagaan teras sedia ada selain meluaskan pendedahan kepada sektor ekonomi yang mempunyai dinamik pasaran berbeza.
Bagaimanapun, SHH menjelaskan sumbangan kewangan sebenar daripada cadangan pengambilalihan itu bergantung kepada beberapa faktor.
"Ini termasuk kejayaan memulakan dan meneruskan operasi perlombongan, jumlah rizab emas yang boleh dipulihkan, kecekapan pengeluaran, kos operasi, harga emas semasa dan masa hadapan, pematuhan terhadap keperluan kawal selia serta kesahan dan pembaharuan konsesi perlombongan," kata syarikat itu. - DagangNews.com








