Boustead kembali catat untung pada Q3 berjumlah RM55.7 juta | DagangNews Skip to main content

Boustead kembali catat untung pada Q3 berjumlah RM55.7 juta

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 Nov - Boustead Holdings Bhd. mempamerkan prestasi yang lebih baik bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 apabila kembali merekodkan untung bersih sebanyak RM55.7 juta berbanding kerugian bersih RM51.8 juta yang dialaminya bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Pendapatan kumpulan bagi tempoh itu juga meningkat kepada RM3.68 bilion daripada RM1.89 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Prestasi lebih baik ini disumbangkan melalui semua segmen perniagaan di bawah kumpulan iaitu perladangan, perdagangan dan pelaburan serta farmaseutikal.

 

Bagi tempoh kumulatif 9 bulan berakhir 30 September 2021, Boustead merekodkan untung bersih sebanyak RM91.5 juta berbanding kerugian bersih berjumlah RM198.6 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Malah, pendapatan turut meningkat kepada RM8.35 bilion daripada RM5.65 bilion apabila semua segmen perniagaan menyumbang hasil yang lebih baik kepada kumpulan dalam tempoh berkenaan.

 

Ia turut didorong oleh keuntungan sekali melalui pelupusan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang dan pelaburan hartanah masing-masing bernilai RM84.6 juta dan RM13.1 juta.

 

Untuk tempoh 9 bulan itu, pendapatan bagi segmen hartanah dan perindustrian bagaimanapun susut 12% kepada RM348.8 juta daripada RM396.7 juta bagi tempoh sama tahun lalu, apabila terjejas dengan kadar penghunian dan sewa yang rendah bagi pusat beli-belah dan hotel.

 

Segmen perladangan pula sebaliknya, mencatat pendapatan lebih tinggi berjumlah RM708.5 juta, meningkat 32% berbanding RM535.4 juta bagi tempoh sama tahun lalu disebabkan harga minyak produk minyak sawit yang lebih tinggi.

 

Bagi segmen perindustrian berat kumpulan, ia merekodkan pendapatan berjumlah RM282.7 juta berbanding RM243.3 juta bagi tempoh sama tahun lalu terutamanya disumbangkan menerusi hasil projek Littoral Mission Ship (LMS) yang lebih baik.

 

Dalam tempoh itu juga, pendapatan segmen farmaseutikal melonjak 2 kali ganda kepada RM4.1 bilion daripada RM2.1 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya berikutan permintaan tinggi bagi semua perniagaan konsesi, bukan konsesi dan Indonesia.

 

Segmen ini turut dipacu menerusi jualan vaksin COVID-19 Sinovac kepada Kementerian Kesihatan dan sektor swasta yang menjadi pemangkin utama. 

 

Prestasi Boustead bagi tempoh itu turut disumbangkan menerusi segmen perdagangan, kewangan dan pelaburan yang mencatat pendapatan lebih tinggi sebanyak RM2.9 bilion, meningkat 21% daripada tempoh sama tahun lalu terutamanya dipacu hasil daripada Boustead Petroleum Marketing pada harga purata bahan api yang lebih tinggi. 

 

Sejajar dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi, Boustead menjangkakan hasil yang lebih positif menerusi kesemua 5 segmen perniagaannya bagi sepanjang tahun ini di sebalik ketidaktentuan akibat kemunculan varian baharu COVID-19. 

 

"Dipacu strategi Reinventing Boustead, kumpulan kekal teguh dalam usaha mengukuhkan kedudukan operasi dan kewangan kumpulan.

 

"Di bawah strategi ini, kami menyasarkan untuk mempercepatkan penciptaan nilai dengan program peningkatan prestasi, meneroka sumber pendapatan baharu, rasionalisasi aset tidak strategik dan menyertai sektor teknologi dan perkhidmatan digital," jelasnya. - DagangNews.com