Boat Noodle sasar buka 150 cawangan menjelang 2027 | DagangNews Skip to main content

Boat Noodle sasar buka 150 cawangan menjelang 2027

Oleh FAIZAL ZAKARIA

BANGI 9 Jun - Syarikat Boat Noodle Sdn. Bhd. (Boat Noodle) menyasarkan untuk mengembangkan perniagaan francaisnya di seluruh negara dengan sasaran operasi 150 cawangan dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

Pengasas, dan Ketua Pegawai Eksekutif Boat Noodle, Tony Lim Chin Hau berkata, peningkatan ketara rangkaian restoran makanan yang berasal dari Thailand itu berikutan penganugerahan lesen francais  yang diterimanya pada akhir tahun lalu.

 

"Jenama Boat Noodle telah berada lebih lima tahun dalam pasaran tempatan dan oleh kerana itu kami yakin ia sudah pun mantap untuk diteruskan dalam model perniagaan francais. 

 

"Memandangkan ekonomi kini dibuka semula, kami ingin memulakan kerjasama dengan lebih ramai rakyat Malaysia, yang bercita-cita untuk memiliki perniagaan sendiri, terutamanya di bandar-bandar kecil melalui tawaran strategik untuk merealisasikan impian mereka.

 

“Pemilik francais Boat Noodle berpotensi untuk menikmati hasil kerja keras mereka dalam tempoh selepas 24 bulan menjalankan perniagaan francais,” katanya selepas melancarkan cawangan ke-38 jenama itu di Bandar Seri Putra hari ini.

 

Turut hadi Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Kuala Lumpur, Jaafar Ahmad; Ketua Pegawai Operasi Boat Noodle, Yoshito Higashiyama; Pengerusi Koperasi Pekerja Felda Malaysia Berhad (Koguna), Safie Muda dan wakil rakan niaga Boat Noodle, Toridoll Holdings Corporation (Toridoll) yang diwakili oleh Ketua Pembangunan Perniagaan Peringkat Global, Satoshi Suga.

 

noddle

 

Toridoll ialah operator industri makanan dan minuman (F&B) Jepun yang membantu pengembangan jenama Boat Noodle di negara ini. 

 

Tony berkata, keseluruhan 40 restoran Boat Noodle sudah beroperasi di seluruh negara manakala tiga lagi akan beroperasi tidak lama lagi menyediakan kira-kira 3,000 peluang pekerjaan.

 

“Kita fokus dan komited untuk mencipta bisnes yang memberikan peluang pekerjaan terutama pekerjaan kasual memandangkan setiap outlet memerlukan minimum 14 orang pekerja untuk beroperasi,” katanya.

 

noddle


Sementara itu, Safie  berkata, pelan peluasan rangkaian Boat Noodle yang turut memberi peluang perniagaan kepada penerima manfaat Felda merupakan perkembangan yang sangat menggembirakan, terutamanya untuk generasi muda kerana ia penting dalam pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara. 

 

“Ini selaras dengan fungsi utama Koguna untuk memastikan pelaburan kami memperoleh pulangan yang lebih besar kepada ahli. Setelah melihat sendiri pelan perniagaan Boat Noodle, kami yakin akan dapat melihat potensi Pulangan Pelaburan yang bersesuaian dengan rancangan pelaburan kami,” katanya.

 

Jelas Safie, Koguna menetapkan jualan harian Boat Noodle cawangan Bandar Seri Putra sebanyak RM4,500 namun kutipan telah pun mencapai lebih RM100,000 dalam tempoh 19 hari beroperasi.

 

“Angka ini telah mencapai sasaran kami dan insya Allah modal awal RM600,000 pelaburan satu cawangan ini akan dapat pulangan dalam tempoh lebih awal atau satu tahun. Kami akan menimbangkan pembukaan satu atau dua outlet yang lain bagaimanapun keputusannya tertakluk kepada keputusan analisis komersial,” katanya. - DagangNews.com