Skip to main content

BNM & bank-bank di Kuala Lumpur beroperasi seperti biasa esok

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 2 Dis -  Bank Negara Malaysia mengumumkan ia dan semua bank, termasuk operasi cawangan, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan dibuka dan beroperasi seperti biasa pada Jumaat, 3 Disember 2021.

 

“Dalam hal ini, urus niaga pasaran kewangan dalam pertukaran asing, wang dan pasaran bon di kaunter akan terus beroperasi seperti biasa,” kata bank pusat itu dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) pada Rabu mengumumkan Hari Kelepasan Am Tambahan pada Jumaat ini bersempena dengan kejayaan pasukan bola sepak Kuala Lumpur (KL) City FC merangkul kejuaraan di TM Piala Malaysia 2021 edisi Ke-100.

 

Menterinya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kemenangan KL City FC itu di Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan pencapaian terbaik pasukan tersebut setelah 32 tahun penantian.

 

“Susulan kemenangan itu, adalah dimaklumkan bahawa kerajaan telah bersetuju supaya hari Jumaat ini (3 Disember 2021) diisytiharkan sebagai Hari Kelepasan Am Tambahan bagi tiga wilayah iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan," katanya.

 

Bagaimanapun Bursa Malaysia Bhd. dan anak-anak syarikatnya dalam kenyataannya hari ini memaklumkan penutupan operasi esok sempena cuti umum Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. 

 

"Bursa Malaysia dan anak syarikatnya akan kembali beroperasi pada Isnin, 6 Disember ini," katanya. -DagangNews.com