Bernama TV laksana pelbagai strategi kukuhkan kedudukan dalam persaingan industri penyiaran negara | DagangNews Skip to main content

Bernama TV laksana pelbagai strategi kukuhkan kedudukan dalam persaingan industri penyiaran negara

Bilik kawalan studio Bernama TV di Wisma Bernama, Jalan Tun Razak.
Oleh FAIZAL ZAKARIA

PERKEMBANGAN teknologi yang berlaku secara drastik pada masa kini memaksa pelbagai sektor industri bertungkus-lumus untuk terus bersaing.

 

Sektor penyiaran di negara ini turut tidak terkecuali daripada terkena tempiasnya apabila masing-masing seakan berlumba-lumba untuk memperkenal produk baharu bagi memastikan pengikut mereka terus setia bersama saluran yang ditawarkan.

 

Bagi sebuah stesen penyiaran tempatan iaitu Bernama TV yang beroperasi 24 jam dalam perkhidmatan satelit rangkaian Astro, mereka mempunyai strategi tersendiri bagi memastikan ia dapat terus bertahan dalam situasi yang mencabar ketika ini.

 

Ketua TV, Jabatan Penyiaran Bernama, Nor Hamzeela Md. Hambali berkata, antara pendekatan dan strategi pengukuhan operasi yang diambil adalah dengan memberi tumpuan kepada tanggungjawab membantu kerajaan menyampaikan maklumat dan informasi berhubung dasar-dasar yang dilaksanakan menerusi saluran berita dan hal ehwal semasa.

 

“Sejak dilancarkan pada tahun 1998 dan dirasmikan pada 2008, Bernama TV sememangnya fokus dalam menawarkan kandungan berunsurkan berita terkini, bisnes, gaya hidup, sukan, dan hiburan termasuk muzik, filem, fesyen, makanan, rumahtangga, dan kesihatan.

 

“Namun, sebagai sebuah saluran penyiaran milik Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia), Bernama TV  terus memainkan peranan pentingnya  dalam melaksanakan tanggungjawab untuk menjadi saluran penyampaian maklumat yang tepat bagi pihak kerajaan.

 

“Pada masa sama, kami turut memberi fokus kepada penyaluran informasi berkaitan isu-isu kemanusiaan, ekonomi dan global yang mempunyai hubung kait secara terus dengan orang awam.

 

“Kesemua maklumat dan informasi tersebut disampaikan secara pantas dan tepat menerusi saluran berita yang diterbitkan dalam empat Bahasa iaitu Bahasa Melayu menerusi siaran Buletin Bernama, Bahasa Inggeris (English News), Mandarin (Mandarin News) dan Tamil (Tamil News),” katanya dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.


 

Nor Hamzeela Md. Hambali
Nor Hamzeela Md. Hambali

 


Menurut Nor Hamzeela lagi, walaupun Bernama TV merupakan saluran berkonsepkan berita, namun saluran itu turut mempunyai program-program lain yang disiarkan bagi menarik minat orang ramai, khususnya golongan muda, untuk mengikuti perkembangan semasa menerusi stesen penyiaran tersebut.

 

Ia termasuklah program bual bicara bagi membincangkan isu-isu semasa seperti Ruangan Bicara, The Nation, The Brief, Darah Muda dan Malaysia Petang Ini, yang banyak mengetengahkan isu-isu semasa yang menjadi perbincangan hangat dalam kalangan rakyat dan orang awam.

 

Selain itu jelasnya, antara strategi pengukuhan lain yang dilaksanakan Bernama TV ialah meluaskan liputan ke Sabah dan Sarawak, selain melaksanakan program kerjasama antarabangsa menerusi kolaborasi dengan stesen penyiaran luar negara seperti Antara dari Indonesia.

 

Malah, stesen itu juga turut melaksanakan penukaran format siaran kepada definisi tinggi (HD) untuk semua platform, selain membekalkan kandungan kepada pihak antarabangsa dalam usaha mengetengahkan pelbagai keunikan dan keistimewaan Malaysia di mata dunia.

 

Dalam konteks program pula jelasnya, stesen itu telah melancarkan satu program baharu pada bulan Jun iaitu "Apa Khabar Malaysia?" untuk menarik lebih ramai penonton pagi.

 

Program ini dilihat dapat memberi peluang kepada sektor korporat untuk menguar-uarkan tentang produk dan perkhidmatan mereka kepada sasaran penonton ini. Selain itu, Bernama TV juga menyiarkan program beli-belah Media Shop untuk golongan yang sama.


 

bernama tv
EDITOR bertugas yang memastikan kandungan berita untuk Bernama TV.

 


“Selain itu, bagi memastikan Bernama TV tidak ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi pada masa kini, kami juga turut mengoptimumkan platform digital dengan turut bersiaran menerusi saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Youtube dan Tiktok.

 

“Pada tahun 2021, jumlah tontotan video Bernama TV menerusi platform media sosial ialah kira-kira 73 juta, namun bagi tahun ini sahaja iaitu sehingga Mei 2022, jumlahnya sudah mencapai lebih daripada 78 juta tontonan,” katanya.

 

Tambah beliau, menerusi penglibatan dalam saluran media sosial, pihaknya yakin ia mampu menjadikan Bernama TV sentiasa kelihatan segar dan dekat dengan golongan audiens yang sentiasa dahagakan maklumat dan informasi yang tepat dan dipercayai. – DagangNews.com