Bank Pembangunan sedia sahut mandat kerajaan, tawar 5 skim pembiayaan | DagangNews Skip to main content

Bank Pembangunan sedia sahut mandat kerajaan, tawar 5 skim pembiayaan

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Arshad Mohamed Ismail

 

 

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) bersedia menyahut mandat kerajaan untuk memberi sokongan penuh kepada negara dalam usaha pemulihan ekonomi dengan fokus utama terhadap membangunkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat. 

 

Langkah itu dilihat sejajar dengan semangat #KeluargaMalaysia yang bergerak seiring dengan strategi pemulihan ekonomi Malaysia. 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Arshad Mohamed Ismail berkata, pihaknya juga menggesa semua pemain industri supaya memainkan peranan aktif membantu masyarakat dalam mengharungi tempoh mencabar ini. 

 

Katanya, sebagai salah satu Institusi Kewangan Pembangunan (DFI), BPMB amat memahami kesan pandemik COVID-19 yang dihadapi oleh rakyat dan telah menjejaskan semua pihak sama ada individu mahupun perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

 

"Sehubungan itu, selaras dengan mandat pembangunan yang diberikan, kami kekal komited melakukan yang terbaik bagi menyokong pemulihan ekonomi. 

 

"Dengan menyokong usaha kerajaan ini, kami tetap teguh untuk membantu mempercepatkan perjalanan Malaysia menuju pemulihan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

 

Baca : DFI perlu beri sokongan segera kepada perniagaan elak impak ekonomi jangka panjang - Tengku Zafrul

 

Baca : Bank Pembangunan tawar 5 skim pembiayaan berjumlah RM5.6 bilion

 

 

Isnin lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyarankan supaya DFI merangka penyelesaian yang praktikal buat sektor perniagaan untuk membolehkan mereka kembali pulih dan beroperasi secepat mungkin.

 

Beliau berkata, DFI perlu memberi sokongan segera kepada perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro sebagai langkah menyokong usaha pemulihan ekonomi negara.

 

Dalam hal ini, Arshad berkata, bagi menyokong hasrat tersebut, BPMB ketika ini menawarkan 5 skim pembiayaan berjumlah RM5.6 bilion, sebagai tambahan kepada kemudahan perbankan korporat bank. 

 

Skim ini ditawarkan pada kadar pembiayaan pilihan dan menyasarkan sektor strategik utama iaitu pendigitalan, kelestarian, maritim dan logistik, pelancongan dan pengangkutan awam. 

 

Menurut beliau, BPMB akan terus memainkan peranan utama pada masa depan bagi menyokong pemulihan ekonomi Malaysia dengan menyelaraskan strategi bank dan inisiatif kerajaan terhadap kelestarian, pendigitalan dan keterangkuman. - DagangNews.com