Axis REIT catat kenaikan 38.8% pendapatan bersih direalisasikan kepada RM42.9 juta | DagangNews Skip to main content

Axis REIT catat kenaikan 38.8% pendapatan bersih direalisasikan kepada RM42.9 juta

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Julai - Axis Real Estate Investment Trust (Axis REIT) merekodkan kenaikan 38.8% pendapatan bersih direalisasikan kepada RM42.9 juta bagi 2QFY22 berbanding RM30.9 Juta pada 2QFY21.

 

Perkembangan itu disumbangkan jumlah pendapatan amanah yang lebih tinggi yang meningkat sebanyak 20.1% kepada RM72.5 juta daripada RM60.4 juta pada tahun lalu.

 

Jumlah pertumbuhan pendapatan amanah pula didorong oleh sumbangan daripada hartanah yang baru diperoleh dan sewa yang direkodkan daripada pembaharuan penyewaan dan peningkatan kontrak dalam tempoh setahun yang lalu.

 

Dalam tempoh dua belas bulan lalu, Axis REIT memperoleh empat hartanah, termasuk Gudang Logistik DW1 di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor, yang telah siap pada 25 April 2022 menjadikan jumlah portfolio kepada 61 hartanah pada 30 Jun 2022 .

 

Bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2022, Axis REIT mencatatkan jumlah pendapatan amanah RM139.2 juta, meningkat 18.1% daripada RM117.9 juta pada tahun sebelumnya dan pendapatan bersih yang direalisasikan meningkat sebanyak 30.6% kepada RM82.0 juta daripada RM62.8 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.

 

Pengurusan mencadangkan pengagihan sebanyak 99% daripada pendapatan realisasi yang tersedia untuk diagihkan sebagai pendapatan interim kedua FY22, menjadikan pengagihan seunit sebanyak 2.55 sen berbanding 2.4 sen pada 2QFY21.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Leong Kit May berkata, keputusan kewangan menunjukkan portfolio kukuh Axis REIT yang sebahagian besarnya terdiri daripada logistik dan hartanah perindustrian.

 

"Kami akan terus mengembangkan portfolio kami dengan pemerolehan hartanah berkualiti serta membangunkan hartanah dengan objektif utama untuk memberikan pulangan yang lebih baik kepada pemegang saham," katanya.

 

Pada 16 Jun 2022, Axis-REIT melengkapkan Pelan Pelaburan Semula Agihan Pendapatan (IDRP) untuk pengagihan pendapatan interim pertamanya pada FY22 yang meningkatkan saiz dana kepada 1,641,054,038 unit.

 

Pendapatan bersih RM11.3 juta yang diperoleh daripada IDRP itu digunakan untuk membiayai peningkatan hartanah Axis REIT. - DagangNews.com