KUALA LUMPUR 9 Jan - Zurich Malaysia memperkenalkan dua manfaat perubatan baharu yang memenuhi keperluan berbeza pelanggan bagi menyediakan akses lebih besar kepada pelan perubatan untuk ketenangan fikiran.
Dua manfaat yang dikenali sebagai MediAfya dan Zurich Infinite Care, masing-masing adalah rider takaful dan konvensional.
Pengenalan kedua-dua manfaat tersebut tepat pada masanya kerana hanya 22% penduduk Malaysia dilindungi insurans kesihatan peribadi mengikut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 (NHMS).
Ketua Pegawai Pemasaran Zurich Malaysia, Thai Mei Lih berkata, pihaknya memahami kebimbangan rakyat Malaysia mengenai peningkatan premium perubatan dan caruman insurans, didorong pelbagai faktor.
“95% rakyat Malaysia menerusi tinjauan keperluan pelanggan pada September 2022 menunjukkan pelan perubatan adalah pelan perlindungan paling penting yang mereka perlukan. Namun 32% masih tidak.
"Kami menggesa rakyat Malaysia untuk bercakap dengan syarikat insurans dan penyedia takaful untuk menyediakan diri dengan lebih baik. Ejen yang baik boleh membantu mereka merancang untuk masa depan yang lebih cerah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, MediAfya dibangunkan dengan permintaan pelanggan untuk perlindungan perubatan pada harga berpatutan.
Ia menyediakan perlindungan perubatan asas dengan ko-takaful 10% minimum, dihadkan kepada RM1,000 setahun untuk meningkatkan kemampuan.
Pelan itu juga membenarkan kemudahan kemasukan tanpa tunai untuk terus membantu pelanggan pada masa mereka memerlukan.
Sementara itu, Zurich Infinite Care memberi ganjaran kepada pelanggan dengan penjimatan sehingga 30% dalam kos insurans jika tiada tuntutan dibuat.
Di samping itu, ia mempunyai 'Perisai Inflasi' untuk menangani kebimbangan inflasi perubatan dengan meningkatkan had tahunan secara automatik sebanyak 20% setiap lima tahun.
Ia juga menyediakan tempoh penjagaan lebih lama sehingga 210 hari selepas dimasukkan ke hospital dan perlindungan peranti perubatan yang biasanya tidak termasuk dalam rancangan perubatan. - DagangNews.com








