Yuan alternatif sempurna bagi menggantikan dolar AS - ahli ekonomi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yuan alternatif sempurna bagi menggantikan dolar AS - ahli ekonomi

Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 3 Mei – Perubahan dasar monetari Amerika Syarikat memberi gelombang kejutan kepada ekonomi global, terutamanya apabila dolar Amerika Syarikat (AS) digunakan sebagai mata wang dagang utama untuk membiayai perdagangan serta pelaburan antarabangsa. 

 

Situasi ini memberi kesan kepada ekonomi atau negara sedang membangun, termasuk Malaysia yang mempunyai kadar kebergantungan terhadap dolar AS.

 

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keperluan untuk mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada dolar AS adalah jelas kerana perubahan dasar monetari AS memberi kesan negatif meliputi segala aspek pasaran termasuklah tukaran matawang asing, ekuiti mahupun bon.

 

"Soalan seterusnya, apakah alternatifnya? nampaknya Yuan China adalah pengganti yang sempurna memandangkan negara itu mempunyai kehadiran yang ketara berkenaan dengan perdagangan dan pelaburan di peringkat global.

 

"Walau bagaimanapun, akaun modal mereka masih agak terhad kerana pelabur atau entiti asing perlu mematuhi peraturan tertentu apabila mereka ingin datang dan melabur di China," beliau memberitahu DagangNews hari ini.


 

Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid
           Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

 


Bagaimanapun, Mohd Afzanizam menjelaskan lagi bahawa salah satu kekurangan dalam penggunaan Yuan adalah modal tidak bergerak bebas di China, sekali gus menimbulkan cabaran kerana ketersediaan Yuan mungkin tidak sebanyak dolar AS.

 

"Tetapi saya rasa mempunyai perjanjian perdagangan dua hala akan mempercepatkan penggunaan Yuan untuk penyelesaian perdagangan," jelas beliau lagi.

 

Selain daripada itu, Mohd Afzanizam berkata peralihan penggunaan Yuan berbanding dolar AS turut membangkitkan isu berkaitan geopolitik kerana ia melibatkan hubungan antara dua negara.

 

"Kita perlu berhati-hati kerana risiko geopolitik sangat mudah berubah akhir-akhir ini. Walau langkah apa pun yang diambil, risiko berkaitan dengan geopolitik haruslah diambil kira kerana ia mungkin memberi kesan langsung kepada perdagangan dan pelaburan," jelas beliau lagi.

 

BACA JUGA: Dolar Amerika Syarikat kian kehilangan kawan

 

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah mendedahkan bahawa kira-kira 50 peratus daripada pinjaman rentas sempadan dan sekuriti hutang antarabangsa didominasi dalam dolar AS.

 

Terdahulu, ahli ekonomi berkata perjanjian dua hala dan serantau dilihat sebagai titik permulaan terbaik untuk Malaysia serta negara sedang membangun meneruskan usaha beralih daripada dolar AS dengan berurusan atau melakukan transaksi dalam didominasi bukan dolar tersebut.

 

Mereka turut menyifatkan tindakan sedemikian akan membolehkan kalangan ekonomi atau negara sedang membangun untuk berganjak daripada risiko berkaitan kebergantungan terhadap dolar AS.

 

BACA LAGI: Adakah Asia perlukan Tabung Kewangan sendiri?

 

Malah, tarikan untuk dedolarisasi atau beralih daripada dolar AS juga semakin mendapat momentum ketika mata wang negara maju tersebut terus melonjak ketara berbanding mata wang serantau dalam tempoh singkat yang mencetuskan implikasi makroekonomi hampir ke semua negara.


 

parafrasa

 


Sebagai contoh sejajar dengan peningkatan transaksi bukan dolar AS yang kian ketara di peringkat global, pihak Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia pada awal bulan ini telah memaklumkan bahawa  perdagangan antara India dan Malaysia kini boleh dilaksanakan dalam Rupee India (INR).

 

Ini merupakan tambahan kepada kaedah penyelesaian dalam mata wang lain susulan keputusan Bank Rizab India yang juga bank pusat negara itu pada Julai 2022 yang membenarkan penyelesaian dagangan antarabangsa menggunakan INR. – DagangNews.com