Yoodo tawar pelan percubaan 5G percuma kepada pengguna | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yoodo tawar pelan percubaan 5G percuma kepada pengguna

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Feb - Yoodo, perkhidmatan mudah alih pertama di Malaysia yang menawarkan pelan boleh diubah suai sepenuhnya dan 100% digital mengukuhkan statusnya menjadi Pengendali Rangkaian Maya Mudah Alih (MVNO) pertama melancarkan teknologi 5G untuk semua penggunanya. 

 

Dalam erti kata mudah, 5G adalah standard global baharu untuk teknologi selular yang jauh lebih pantas dan lebih diyakini berbanding iterasi 4G, sebelumnya.  

 

Menerusi pelancaran 5G Live pengguna Yoodo yang memiliki peranti dengan sokongan 5G Android dan langganan pas 5G layak untuk menikmati percubaan percuma dari 15 Februari hingga ke suatu tempoh yang akan diumumkan kemudian. 

 

Ketua Yoodo, Chow Tuck Mun berkata, pihaknya gembira kerana menjadi MVNO yang pertama menawarkan internet berkelajuan tinggi kepada penggunanya dan menawarkan keupayaan penstriman masa depan pada hari ini. 

 

Katanya, pihaknya bangga kerana menjadi perintis teknologi 5G. Kini semua pengguna Yoodo boleh menikmati percubaan perkhidmatan 5G percuma dengan kad SIM mereka yang sedia ada. 

 

"Detik bersejarah ini mencerminkan usaha berterusan kami dalam menunaikan komitmen untuk menyediakan perkhidmatan komunikasi termaju kepada pengguna kami. 

 

"Di Yoodo, kami percaya dalam usaha mewujudkan sebuah dunia di mana ketersambungan tanpa had dapat menambah baik kehidupan dan membuka peluang baharu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

yoodo

 

 

yoodo

 

 

yoodo

 

Menurut Chow, secara keseluruhan, 5G mempunyai potensi untuk meningkatkan lagi pengalaman digital dan merevolusikan cara kita hidup, bermain, dan bekerja. 

 

Katanya, dengan 5G, sambungan Internet anda akan menjadi 10 hingga 20 kali ganda lebih pantas berbanding sebelumnya dan akan memberikan pengalaman mudah alih yang lebih kaya kepada para pengguna tatkala pihaknya membawakan era baharu ketersambungan. 

 

"Pengguna Yoodo kini boleh menikmati pengalaman menstrim yang jauh lebih baik berbanding sebelumnya dan menikmati permainan video yang serba lancar,” tambah beliau. 

 

 

yoodo

 

 

Untuk mengakses perkhidmatan percubaan 5G percuma, pengguna boleh melanggan mana-mana pelan data berkelajuan tinggi daripada 10 gigabit (GB) hingga 200GB. 

 

Perkhidmatan perayauan 5G Yoodo kini juga boleh didapati di lebih daripada 10 negara. Buat masa ini, 5G boleh didapati untuk peranti Android sahaja namun Yoodo sedang berusaha untuk menawarkan 5G kepada peranti iOS dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com