Yinson umum pelantikan Fariza Ali wakil KWSP dalam lembaga pengarah syarikat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yinson umum pelantikan Fariza Ali wakil KWSP dalam lembaga pengarah syarikat

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 22 Mei - Yinson Holdings Bhd mengumukan pelantikan Fariza Ali @ Taib sebagai pengarah bukan bebas bukan eksekutif, berkuat kuasa 31 Mei 2023, mewakili Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di dalam syarikat tersebut.

 

Fariza ialah ketua jabatan pasaran pelaburan hartanah di KWSP, di mana beliau menyelia kedua-dua portfolio hartanah global dan domestik.

 

Beliau menyertai KWSP pada 2014 sebagai ketua portfolio pendapatan tetap dan kemudiannya dilantik sebagai ketua pengurusan dana luar pada 2019, bertanggungjawab untuk menguruskan sejumlah RM160bil aset di bawah pengurusan yang merangkumi kedua-dua ekuiti tersenarai dan pendapatan tetap.

 

Sebelum KWSP, Fariza berkhidmat sebagai ketua sukuk dan pelaburan mata wang tempatan di Pengurusan Pelaburan Islam Asia.

 

Beliau juga memegang jawatan pengarah dalam kedua-dua syarikat awam dan swasta.

 

“Pengalaman beliau dalam bidang pelaburan pengurusan portfolio dan pasaran modal akan terbukti tidak ternilai kepada kumpulan ketika kami mengharungi landskap ekonomi yang berubah dan terus memacu pertumbuhan di seluruh unit perniagaan kami.

 

"Kami mengharapkan sumbangan beliau dalam mencapai objektif strategik kami untuk menyampaikan pertumbuhan mampan jangka panjang dan mencipta nilai untuk pemegang kepentingan kami," kata pengerusi eksekutif Kumpulan Yinson Lim Han Weng dalam satu kenyataan.

 

Fariza menggantikan Rohaya Mohammad Yusof, yang akan meletakkan jawatan sebagai pengarah bukan eksekutif bukan bebas.

 

Beliau merupakan ketua pegawai pelaburan KWSP dan telah berkhidmat dengan lembaga pengarah Yinson sejak 1 Januari 2020. - DagangNews.com