KUALA LUMPUR 1 Mac - Yinson Holdings Bhd membawa perubahan besar terhadapan kepimpinan strategik kumpulan itu dengan pelantikan baharu, sejajar dengan rancangannya untuk memacu pertumbuhan berterusan unit perniagaannya dan pelancaran pelan hala tuju strategik syarikat.
Daniel Bong dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Farosson, unit perniagaan baharu kumpulan yang menyediakan penyelesaian nasihat dan pengurusan aset untuk memberi tumpuan kepada aktiviti kitar semula modal kumpulan.
Menurut kenyataan Yinson hari ini, Daniel sebelum ini menyandang jawatan Ketua Pegawai Strategi Kumpulan dan Ketua Penasihat Korporat Kumpulan Yinson.
Daniel berpengalaman dalam penyeliaan kewangan korporat dan pelaburan, pembangunan strategi, undang-undang korporat, tadbir urus, pengurusan risiko dan pematuhan, kemampanan dan fungsi komunikasi korporat serta menguruskan kerjasama perniagaan dan kewangan.
Beliau juga mengekalkan pengawasan terhadap fungsi cukai, perbendaharaan dan kewangan kumpulan melalui laporan daripada Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan.
Chai Jia Jun pula akan memegang jawatan Ketua Pegawai Strategi Kumpulan, di mana sebelum ini beliau merupakan Pengarah Pejabat CEO Kumpulan yang mengurus aktiviti pasaran ekuiti, perkongsian dan usaha niaga baharu kumpulan.
Sementara itu, Eirik Barclay dinaikkan pangkat kepada CEO Yinson GreenTech manakala Louisa Brady sebagai Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan.
Perubahan pada pasukan pengurusan kanan Yinson ini berkuat kuasa pada 1 Mac 2023.
Mengulas berkenaan perubahan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yinson Lim Chern Yuan percaya syarikat boleh melaksanakan rancangan baharu, selaras dengan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui (RE) untuk nilai yang mampan bagi pemegang berkepentingan. -DagangNews.com








