Yinson peroleh pinjaman berjangka tunggal terbesar RM6.2 bilion biayai penyiapan FPSO Agogo | DagangNews Skip to main content

Yinson peroleh pinjaman berjangka tunggal terbesar RM6.2 bilion biayai penyiapan FPSO Agogo

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Mei - Yinson Holdings Bhd menerusi Yinson Production berjaya mendapatkan kemudahan pinjaman berjangka terhad sehingga AS$1.3 bilion (RM6.2 bilion) bagi membiayai pra dan pasca penyiapan kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FSPO) Agogo yang akan digunakan di Angola.

 

Ketua Pegawai Kewangan Yinson Production, Markus Wenker berkata, kemudahan pinjaman berjangka itu merupakan pembiayaan tunggal terbesar syarikat setakat ini dan beliau berkata, struktur berbilang peringkat komersial kemudahan itu juga adalah yang pertama seumpanya dalam industri.

 

"Urus niaga ini adalah penting kepada Yinson Production kerana ia bukan sahaja merupakan pembiayaan tinggal terbesar kami setakat ini tetapi struktur berbilang peringkat komersial yang pertama seumpamanya dalam industri meningkatkan kecekapan pembiayaan dengan ketara berbanding struktur tradisional.

 

"Selain itu ia juga mempelbagaikan asas pembiayaan dengan menggabungkan kumpulan pemberi pinjaman yang berbeza dalam satu transaksi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, pembiayaan itu disediakan oleh konsortium 13 pemberi pinjaman diketuai Standard Chartered Bank (Singapore) Ltd yang bertindak sebagai bank penyelaras global dan akan digunakan sepanjang pembinaan FPSO.

 

"Pembiayaan itu terdiri daripada tiga peringkat bercagar yang sama dengan tempoh matang berperingkat sehingga 10 tahun selepas penyiapan FPSO. 

 

"Bagaimanapun ia tertakluk kepada syarat-syarat tertentu, pembiayaan akan menjadi pinjaman bukan bercagar selepas penyaiapan FPSO," katanya.

 

Pinjaman berjangka itu diperoleh dalam tempoh tiga minggu selepas Yinson memperoleh AS$500 juta daripada bon bercagar lima tahun yang membawa kupon tetap sebanyak 9.64% yang diumumkan pada 19 April 2024.

 

Sehingga 31 Januari 2024, pinjaman bersih Yinson berjumlah RM13.31 bilion, meningkat 66% daripada RM8.01 bilion yang dicatatkan setahun lalu.

 

Pada Februari 2023, Yinson Production memeterai kontrak penyediaan, operasi dan penyelenggaraan FPSO Agogo dengan Azule Energy, pengeluar minyak dan gas bebas terbesar Angola yang merupakan usaha sama 50:50 antara syarikat minyak dan gas Britain, BP dan syarikat tenaga Itali, Eni.

 

Kontrak itu mempunyai tempoh operasi selama 15 tahun, dengan tempoh tambahan pilihan sehingga lima tahun dan  nilai kontrak sehingga AS$5.7 bilion.

 

Setelah siap, FPSO Agogo mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 120,000 tong minyak sehari. - DagangNews.com