KUALA LUMPUR 17 Mei – Yew Lee Pacific Group Bhd. (YLPG) hari ini melancarkan prospektus syarikat untuk tawaran awam permulaan (IPO) bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd. (Bursa Securities).
IPO bagi pengeluar terkenal yang terlibat terutamanya dalam pembuatan berus industri dan perdagangan alat ganti jentera dan perkakasan industri itu melibatkan terbitan 133.10 juta saham baharu yang akan diterbitkan pada harga 28 sen sesaham dan tawaran penjualan 26.62 juta saham sedia ada melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Saham terbitan awam akan disediakan sebanyak 26.62 juta saham baharu untuk permohonan kepada orang ramai, diikuti 15.97 juta saham baharu diperuntukkan untuk permohonan oleh pengarah dan pekerja yang layak.
Sebanyak 23.96 juta saham baharu melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih manakala
66.55 juta saham baharu melalui penempatan persendirian kepada pelabur bumiputera yang dikenal pasti diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

YLPG menjangkakan IPO itu akan mengumpul hasil kasar sebanyak RM37.27 juta yang mana sebanyak RM10.9 juta untuk pembelian mesin dan peralatan, RM7.3 juta untuk pembinaan kemudahan gudang dan bangunan pejabat dan RM1.8 juta untuk pengubahsuaian bangunan pejabat.
Selebihnya, sebanyak RM8.9 juta akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank manakala RM4.57 juta untuk modal kerja dan RM3.8 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.

Pengarah Urusan YLPG, Ang Lee Leong berkata, pelancaran prospektus itu merupakan pencapaian penting bagi syarikat kerana ia menandakan hasil kerja keras sejak mula beroperasi pada 2004.
Katanya, sebagai pengeluar berus industri yang mantap, syarikat memulakan IPO tersebut untuk mengumpul dana bagi melaksanakan rancangan pertumbuhan dan meningkatkan profil dalam industri.
“Untuk mengekalkan pertumbuhan yang mampan dan mencipta nilai pemegang saham jangka panjang, kami mempunyai rancangan untuk mengembangkan kapasiti pembuatan dan meningkatkan automasi menerusi hasil daripada IPO ini
"Kami juga sedang membina gudang dan kemudahan pejabat kerana kemudahan semasa diperlukan untuk pengembangan aktiviti pembuatan Kumpulan dan juga untuk menampung pertumbuhan perniagaan masa hadapan," katanya dalam kenyataan hari ini.
YLPG menghasilkan berus industri dan teknikal untuk pelbagai industri pembuatan termasuk sarung tangan, industri, elektrik dan elektronik, pembekal pembersihan industri dan komersial serta pengeluar kaca dan kayu.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21), sebanyak 76.8% daripada jumlah hasil kumpulan kebanyakannya diperoleh daripada Malaysia manakala baki 23.2% daripada pasaran luar negara, terutamanya Thailand, Vietnam, Indonesia dan Taiwan yang masing-masing mewakili kira-kira 7%, 5.8%, 3.3% dan 5.8%.
M&A Securities adalah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan untuk IPO YLPG manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd ialah Penasihat Kewangan. - DagangNews.com








