KUALA LUMPUR 5 Julai - Seramai 28 anak-anak warga tentera dan anak veteran yang berjaya ke menara gading menerima Dermasiswa Premium daripada Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Bantuan sebanyak RM5,000 seorang secara 'one-off' khas diberikan kepada mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran ke 100 universiti terbaik dunia.
Majlis penyerahan sumbangan yang diadakan di Auditorium Wisma Pertahanan ini telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan.
Hadir sama Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman yang mewakili Panglima Angkatan Tentera.
Turut hadir Pengerusi LTAT merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan LTAT, YM Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Dato’ Dr Mohd Nizar Sudin.

Selain dermasiswa, seramai 64 penerima yang juga anak-anak warga ATM dan veteran menerima komputer riba sumbangan Yayasan LTAT.
Pemberian komputer riba ini pula adalah kepada mereka yang melanjutkan pelajaran pada peringkat Ijazah Sarjana Muda di institut pengajian tinggi awam.
Keseluruhannya, Yayasan LTAT memperuntukkan sebanyak 200 unit komputer riba buat penerima yang layak.
Ini merupakan antara sumbangan yang disalurkan oleh Yayasan LTAT sebagai tanda penghargaan kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan veteran ATM serta ahli keluarga.

Ia juga diharap menjadi pemangkin semangat kepada warga ATM untuk meningkatkan pencapaian akademik anak-anak.
Pemberian ini merupakan salah satu komitmen Yayasan LTAT dalam merealisasikan pelaksanaan dan hala tuju Kertas Putih Pertahanan khususnya dalam memastikan hala tuju pendidikan anak-anak warga ATM terjamin.
Pada majlis sama juga, Menteri Pertahanan telah menyempurnakan Pelancaran Karnival Pendidikan ATM yang berlangsung sejak semalam hingga Khamis ini.
Antara pengisian karnival ini adalah pameran pendidikan daripada beberapa institusi pengajian tinggi, kaunseling ATM, perpustakaan dan taklimat pengajian tinggi. - DagangNews.com








