KUALA LUMPUR 22 Julai – Farm Price Holdings Berhad memperoleh kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk memindahkan penyenaraiannya daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran modal negara.
Kelulusan itu melibatkan pemindahan penyenaraian dan sebut harga keseluruhan modal saham terbitan serta waran syarikat ke Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Pengarah Urusannya, Dr. Lawrence Tiong Lee Chian berkata, kelulusan tersebut merupakan satu pencapaian penting yang mencerminkan pertumbuhan berterusan kumpulan, kematangan operasi serta komitmennya terhadap ketelusan dan amalan tadbir urus korporat yang baik.
Menurut beliau, kejayaan itu juga selari dengan agenda keselamatan makanan negara memandangkan sayur-sayuran segar merupakan antara keperluan harian yang penting dan syarikat komited menjadi pembekal yang konsisten serta boleh dipercayai di Malaysia dan Singapura.
Farm Price mula mencipta sejarah apabila menjadi pengedar sayur-sayuran segar pertama disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada Mei 2024 yang meletakkan syarikat itu pada kedudukan yang unik dalam landskap korporat tempatan.
Tingkatkan Keterlihatan Dan Peluang Pertumbuhan
Dr. Lawrence berkata, perpindahan ke Pasaran Utama sememangnya menjadi sasaran syarikat kerana ia mampu meningkatkan keterlihatan dalam kalangan pelabur institusi dan pelabur runcit, selain memperluaskan akses kepada pasaran modal.
Beliau berkata, langkah itu turut mengukuhkan platform Farm Price untuk menyokong peluasan operasi di pasaran terasnya iaitu Malaysia dan Singapura, selain meningkatkan reputasi syarikat ketika berurusan dengan pelanggan serta pembekal rentas sempadan.
Katanya, perpindahan ke Pasaran Utama juga mengukuhkan lagi kedudukan Farm Price sebagai syarikat perintis dalam industri pengedaran sayur-sayuran segar yang disenaraikan di Bursa Malaysia.
Pada masa sama, syarikat kekal memberi tumpuan untuk meningkatkan kapasiti operasi bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada pelanggan di Malaysia dan Singapura.
Farm Price menyasarkan untuk memulakan operasi Pusat Pengedaran Berpusat yang diperluaskan di Senai dalam tempoh beberapa bulan akan datang bagi menyokong pertumbuhan perniagaan serta meningkatkan kecekapan pengedaran.
Fokus Jana Pertumbuhan Mampan
Dr. Lawrence berkata, dengan kelulusan pemindahan ke Pasaran Utama itu, syarikat optimis terhadap prospek perniagaannya dan berhasrat untuk terus menjana pertumbuhan mampan serta memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang saham.
Farm Price melalui anak-anak syarikatnya menjalankan perniagaan pemborongan dan pengedaran sayur-sayuran segar, produk makanan dan minuman (F&B) serta barangan runcit lain.
Operasinya disokong oleh Pusat Pengedaran Berpusat di Senai, sembilan pusat pengedaran serantau di Johor, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Pahang, Negeri Sembilan dan Sabah, selain sebuah pejabat jualan dan pemasaran di Singapura.
Selain itu, kumpulan turut mengendalikan sebuah kedai runcit di Ulu Tiram, Johor yang menjual sayur-sayuran segar serta pelbagai produk makanan dan barangan runcit terus kepada pengguna. - DagangNews.com








