Yamaha PG-1 bakal pacu jualan Hong Leong Industries, ramalan untung FY25 dinaikkan 7% - Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yamaha PG-1 bakal pacu jualan Hong Leong Industries, ramalan untung FY25 dinaikkan 7% - Kenanga Research

Yamaha PG-1 dilancarkan pada Ogos 2024 dengan harga bermula dari RM6,998. -Gambar Yamaha Motor
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Pelancaran Yamaha PG-1 dengan harga bermula dari RM6,998 dijangka memacu  jualan motosikal Jepun itu yang mana Hong Leong Industries Berhad merupakan pemegang lesen menerusi syarikat usaha sama dengan Yamaha Motor Co Ltd Japan.

 

Kenanga Research berkata, Kumpulan itu dijangka mengeluarkan sekurang-kurangnya 500 unit PG-1 sebulan dengan pengeluaran akan ditingkatkan kemudiannya berdasarkan permintaan.

 

"Kami menaikkan ramalan keuntungan bersih tahun kewangan 2025 (FY25) sebanyak 7%. Kini, kami menjangka kedua-dua jumlah jualan industri dari Julai 2024 hingga Jun 2025 dan jumlah jualan Yamaha akan meningkat sebanyak 5% tahun ke tahun (berbanding dengan +2% sebelum ini). 

 

"Kami meningkatkan jumlah jualan industri kepada 640,000 unit (dari 620,000 unit) dan jumlah jualan Yamaha kepada 320,000 unit (dari 300,000 unit). 

 

"Kami juga sedikit lebih positif untuk FY26. Untuk tempoh dari Julai 2025 hingga Jun 2026, kami meramalkan jumlah jualan industri dan Yamaha masing-masing sebanyak 640,000 unit dan 320,000 unit," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Peningkatan jualan motosikal lonjak untung bersih FY24 Hong Leong Industries kepada RM387.9 juta

 

PG-1
Pengeluaran Yamaha PG-1 akan ditingkatkan berdasarkan permintaan. -Gambar Yamaha Motor 

 

Kenanga Research terus menyukai Hong Leong Industrieskerana ia merupakan proksi yang kuat kepada ekonomi gig yang berkembang pesat, memandangkan peranan penting motosikal dalam melaksanakan transaksi penghantaran dalam talian.

 

Selain itu, kata firma penyelidikan itu, hubungan Hong Leong Industries dengan jenama motosikal Yamaha yang kukuh di Malaysia dan kedudukan jenama sebagai peneraju pasaran dalam segmen motosikal tempatan.

 

"Ketiga kerana mempunyai "war chest" yang kuat dengan tunai bersih sebanyak RM1.7 bilion yang boleh digunakan untuk pemerolehan yang menambah keuntungan. Hasil dividen yang menarik pada 5%," jelasnya.

 

Hong Leong Industries juga mengekalkan saranan 'Outperform' dengan harga sasaran yang disemak naik sebanyak 7% kepada RM13.50 sesaham.

 

"Syarikat ini juga merancang untuk membina kilang jubin Guocera yang baru dengan pengeluaran dijangka bermula pada tahun 2026. 

 

"Kilang jubin baru ini akan berfungsi secara automatik sepenuhnya dan mampu menghasilkan jubin dengan saiz format yang lebih besar, yang akan memberikan margin lebih tinggi berbanding dengan barisan pengeluaran sedia ada," ujarnya. - DagangNews.com