Wujudkan Tabung Kecemasan bagi kelangsungan hidup usahawan | DagangNews Skip to main content

Wujudkan Tabung Kecemasan bagi kelangsungan hidup usahawan

Oleh Munirah Mohamed & Nurhaslinda Hashim

KELANGSUNGAN operasi sesebuah perniagaan memerlukan perancangan yang teliti oleh semua usahawan.

 

Pelbagai risiko dalaman dan luaran mendedahkan usahawan kepada kerugian sama ada dalam jangka masa pendek mahupun panjang.

 

Saban hari, peningkatan kos operasi seperti kos harga barang mentah, kos jualan dan pentadbiran serta kos cukai perniagaan menyumbang kepada penurunan keuntungan tahunan.

 

Usahawan bertanggungjawab memastikan pelan pemasaran dan pentadbiran operasi sentiasa dikemas kini mengikut keperluan semasa.


 

parafrasa

 


Selain itu, pemantauan pelan operasi perniagaan perlulah seiring dengan keperluan sehingga ia dapat menghasilkan keuntungan yang konsisten.

 

Satu elemen penting dalam pelan pentadbiran operasi adalah kawalan kewangan bagi mengekalkan prestasi keuntungan yang positif bagi satu jangka yang panjang.

 

Selain dari sumber kewangan dan modal yang kukuh, usahawan perlu menyediakan satu tabung kecemasan dalam pelan tersebut.

 

Tabung kecemasan adalah satu dana bagi tujuan kecemasan seperti peningkatan perbelanjaan tidak terancang atau terjadinya sesuatu bencana dan fenomena tidak dijangka.


 

Datuk Rasheed Ghaffour
                         Datuk Rasheed Ghaffour

 


Pada Oktober 2023, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Rasheed Ghaffour menyatakan hampir separuh rakyat Malaysia sukar menyediakan RM1,000 bagi tujuan kecemasan.

 

Isu ini perlu dilihat secara keseluruhan dimana kesedaran perlunya tabung kecemasan bukanlah terletak pada kemampuan seseorang individu ataupun keluarga sahaja.

 

Kesedaran ini perlu melibatkan semua peringkat masyarakat terutamanya dalam kalangan usahawan. Perkara ini dilihat penting bagi menjamin kelangsungan operasi perniagaan dan seterusnya meningkatkan prestasi keuntungan perniagaan.

 

Pelbagai risiko wujud yang akan menganggu prestasi keuntungan sesebuah perniagaan.

 

Sebagai contoh ketidaktentuan ekonomi global yang secara tidak langsung menjejaskan ekonomi tempatan.

 

Fenomena ini akan menyumbang kepada kenaikan harga barang mentah yang akan meningkatkan kos jualan sesebuah produk dan perkhidmatan. Ia memberikan impak negatif kepada usahawan terutamanya mereka yang terlibat dalam perniagaan makanan.

 

Kenaikan harga barang mentah ini turut menyebabkan usahawan terpaksa meningkatkan harga jualan yang boleh mendedahkan kepada potensi kehilangan permintaan.

 

Usahawan perlu bersedia dengan dana kecemasan bagi menampung kenaikan harga barang yang meningkat secara mendadak. Kesediaan dana ini akan menjamin kelancaran jualan dan mengekalkan permintaan oleh pelanggan.


 

parafrasa

 


Persaingan perniagaan dan perkembangan teknologi memainkan peranan penting dalam kelangsungan hidup usahawan.

 

Semakin ramai pesaing dalam perniagaan menjadikan pasaran semakin kompetitif. Usahawan perlu kreatif dalam menghasilkan sesuatu produk dan menyediakan perkhidmatan dengan menggunakan teknologi terkini seperti pemasaran digital.

 

Sebagai contoh, usahawan menggunakan media sosial, iklan atas talian dan laman web untuk memperkenalkan barang dan perkhidmatan mereka.

 

Masa kini, ramai orang menggunakan internet untuk membuat carian dan membeli barang. Ini kerana ia lebih mudah dan fleksibel dari membeli barang secara tradisional.

 

Seterusnya dalam membina jenama, usahawan kini gemar menggunakan pempengaruh media sosial untuk menarik perhatian dan mempengaruhi keputusan pelanggan.

 

Namun penglibatan pempengaruh memerlukan kos perbelanjaan yang besar. Oleh itu dengan ada nya tabung kecemasan, usahawan dapat menggunakan dana untuk menampung kos pemasaran tersebut.

 

Tabung kecemasan juga diperlukan apabila usahawan berdepan dengan bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan kebakaran. Bencana alam ini boleh menjejaskan pendapatan usahawan kerana tidak mampu membuat jualan.

 

Selain daripada itu, usahawan memerlukan modal yang lebih semasa bencana alam berlaku untuk menggantikan barang-barang perniagaan yang rosak dan tidak tahan lama.


 

parafrasa

 


Sekiranya bencana alam ini berlanjutan, usahawan akan terus mengalami kerugian kerana pelanggan tidak dapat datang ke premis perniagaan. Usahawan juga perlu menampung gaji dan kebajikan pekerja mereka akibat dari bencana alam yang berlaku.

 

Kesimpulannya, tabung kecemasan bukan sahaja menjadi aspek penting dalam pengurusan kewangan perniagaan, tetapi juga merupakan pelan proaktif terhadap ketidakpastian yang akan timbul sebagai risiko dalaman dan luaran sesebuah perniagaan.

 

Usahawan yang bijak akan mempunyai persediaan dan menganggap tabung kecemasan sebagai salah satu pelan strategik yang dapat membantu menjaga kestabilan dan kelangsungan perniagaan mereka.- DagangNews.com

 

 

Munirah Mohamed & Nurhaslinda Hashim adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya Melaka