KUALA LUMPUR 15 Ogos - Pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Wilayah Timur manfaatkan penyelesaian fotovoltaik pintar (PV) di bawah Pembelian Tenaga Solar (SEP), menjadikannya pejabat MPOB yang pertama memanfaatkan teknologi itu.
Pemasangan sistem PV tersebut merupakan inisiatif bagi MPOB memanfaatkan sumber tenaga hijau melibatkan Perjanjian Pembekalan Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE) antara tiga organisasi iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mestron Energy Sdn Bhd dan lembaga itu.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata, SEP bukan sahaja selaras dengan Pemeteran Tenaga Bersih (NEM 3.0) dan Program Pemeteran Tenaga Bersih bagi Kementerian dan Entiti Kerajaan (NEM GoMEn), malah ia menawarkan penyelesaian kos efektif dan mesra alam, membolehkan MPOB mengoptimumkan penggunaan tenaga sambil mengurangkan jejak karbon organisasi.
“Program SEP oleh MPOB merupakan inisiatif strategik yang menyokong Dasar Teknologi Hijau Negara dengan meningkatkan kapasiti RE.
“Usaha ini dijangka mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 100 tan karbon dioksida setara setahun, sekaligus memelihara alam sekitar dalam jangka panjang,” ujar beliau dalam kenyataan hari ini,” ujar beliau.
Menurut MPOB, penggunaan sistem PV suria di pejabat-pejabat kerajaan bersaiz sederhana dan besar merupakan inisiatif efektif dan efisien untuk memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui kerana permukaan kawasan luas yang jauh lebih besar berbanding bangunan domestik dan persendirian.
“Kaedah janaan tenaga suria melalui pendekatan ini bukan sahaja mampu mengurangkan kos operasi dalam jangka panjang, malah juga mencerminkan komitmen organisasi terhadap kelestarian alam sekitar,” ulasnya.
Pada masa yang sama, MPOB terus meningkatkan usaha penyelidikan dan pembangunan tenaga boleh diperbaharui dalam industri sawit.
Semasa berucap dalam Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian SARE tersebut, Datuk Dr Ahmad Parveez berkata MPOB telah menjalankan penyelidikan pengeluaran biodiesel sawit yang berkualiti tinggi bagi menyokong pelaksanaan program adunan biodiesel sawit bersama petroleum diesel sejak tahun 2011 bermula dengan adunan 5% dan kini di peringkat pelaksanaan Program B20 serta merancang untuk meningkatkan penggunaan biodiesel dalam pelbagai sektor.
Beliau juga menerangkan MPOB telah membangunkan teknologi pemerangkapan biogas daripada sisa kilang sawit melalui projek biogas yang telah dilaksanakan di kilang-kilang sawit seluruh negara.
“Projek biogas kami menunjukkan potensi besar dalam pengurangan pelepasan gas rumah hijau dan penjanaan tenaga boleh diperbaharui.
“Dalam penggunaan biojisim, MPOB juga telah memperkenalkan inovasi penghasilan pelet sawit dan arang teraktif tempurung sawit yang berkesan dalam mengurangkan bahan-bahan pencemar dalam efluen kilang minyak sawit (POME), produk-produk ini bakal membuka peluang ekonomi baharu bagi industri sawit,” ulas beliau.- DagangNews.com








