Widad jalin kerjasama dengan SANY Group manfaatkan teknologi IBS untuk projek The Langkasuka | DagangNews Skip to main content

Widad jalin kerjasama dengan SANY Group manfaatkan teknologi IBS untuk projek The Langkasuka

Pembangunan The Langkasuka akan menggunakan teknologi IBS daripada SANY Group.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Mac - Konglomerat pengurusan pembinaan dan fasiliti bersepadu Widad Business Group Sdn. Bhd. (WBG) menjalin kerjasama dengan SANY Group bagi memanfaatkan Sistem Binaan Berindustri (IBS) untuk projek pembangunan The Langkasuka di Langkawi yang bernilai RM40 bilion.

 

Menerusi perjanjian yang dimetrai pada 3 Mac 2022 bersama anak syarikat SANY Group, Sany Construction Industry Development (M) Sdn. Bhd., kedua-dua syarikat boleh bekerjasama dalam projek hartanah dan infrastruktur WBG di Malaysia termasuk penggunaan peralatan berat untuk pembinaan. 

 

Selain itu WBG juga dapat bekerjasama dengan Universiti SANY bagi menyediakan latihan mengenai teknologi IBS dan operasi peralatan berat kepada pelajar serta pekerja tempatan.

 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan WBG, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah berkata, pemindahan teknologi dan pengetahuan daripada SANY dijangka meletakkan WBG di hadapan dalam melaksanakan projek hartanah serta infrastruktur berkualiti tinggi.

 

Beliau berkata, penggunaan IBS dalam projek pembangunan WBG dapat mempercepatkan tempoh pembinaan selain mengurangkan kos berkaitan dan ia adalah selaras dengan kehendak kerajaan dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang dipacu oleh teknologi.

 

"Teknologi IBS daripada Kumpulan SANY akan menjadi aset penting dalam menjayakan projek tersbesar kami iaitu The Langkasuka yang akan menjalani upacara pecah tanah pada suku kedua 2022.

 

widad
Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah

 

"Kami juga memiliki barisan projek hartanah dan infrastruktur pada masa hadapan yang akan membantu mengangkat kumpulan ke peringkat lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Teknologi IBS juga dikenali sebagai pra-fabrikasi yang merupakan perkara penting dalam meningkatkan produktiviti pembinaan.

 

Teknologi berkenaan membolehkan komponen bangunan dibuat dalam persekitaran terkawal di luar tapak dan memerlukan sedikit kerja tapak tambahan setelah dipasang. 

 

IBS telah digunakan di beberapa struktur paling ikonik di Malaysia seperti Menara Berkembar Petronas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. - DagangNews.com