KUALA LUMPUR 6 Jan - Whoscall dilantik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai rakan strategik untuk memerangi jenayah penipuan dalam talian yang serius di Malaysia.
Kerjasama itu melibatkan perkongsian pangkalan data nombor penipuan dalam talian daripada portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM ke sistem data Whoscall.
Ia menjadikannya aplikasi ID pemanggil terkini dan dipercayai untuk rakyat Malaysia bagi melindungi diri mereka daripada jenayah penipuan dalam talian dan scam.
Ketua Pegawai Operasi Gogolook, Manwoo Joo berkata, ia merupakan kerjasama kelima Gogolook dengan jabatan polis global dalam mengukuhkan pakatan anti-penipuan terhadap 'scammer'.
Beliau berkata, pihaknya komited menyokong JSJK PDRM melindungi rakyat Malaysia melalui teknologi AI dan pangkalan data 'proprietary' yang mempunyai 1.6 bilion entri nombor telefon termasuk nombor digunakan scammer.
"Kami yakin pengguna di Malaysia akan mendapatkan akses terhadap pangkalan data nombor penipuan dalam talian paling terkini dengan hanya memuat turun aplikasi Whoscall pada telefon mudah alih mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kerjasama antara Whoscall dan PDRM bakal meningkatkan lagi keberkesanan Kempen Anti Scam PDRM untuk melindungi daripada scammer dengan memanfaatkan teknologi pengenalan panggilan tidak diketahui dengan tujuan mengurangkan lagi kes jenayah komersial di Malaysia.

Whoscall sebelum ini disokong oleh Kerajaan Negeri Selangor, kini menjadi aplikasi ID pemanggil pertama dan satu-satunya yang disahkan PDRM dengan perakuan dan pengiktirafan untuk sistem perlindungan data peribadi dalam aplikasi tersebut.
Pengguna Whoscall juga boleh mencari nombor telefon daripada mesej dan panggilan tidak diketahui berdasarkan pangkalan data Whoscall yang semakin meningkat dan mengenal pasti scammer menggunakan aplikasi percuma mereka.
Memandangkan nombor berisiko ditambah secara berterusan ke dalam pangkalan data mereka, pengguna boleh mengemas kini secara manual dan juga menambah nombor tersebut dalam senarai nombor disekat.

Selain perkongsian data, Whoscall dan PDRM CCID juga bekerjasama dalam menganjurkan lawatan ke sekolah dan universiti di seluruh negara dalam usaha mendidik orang ramai tentang pencegahan penipuan serta memperkenalkan aplikasi Whoscall bagi menyekat panggilan spam.
‘Be Smart Stay Alert’ dengan memuat turun aplikasi Whoscall sekarang secara percuma di pautan, https://whoscall.onelink.me/MQQa/PDRMAntiScam. - DagangNews.com








