WFH atau Kerja dari Rumah: Norma baharu yang berkesan | DagangNews Skip to main content

WFH atau Kerja dari Rumah: Norma baharu yang berkesan

Kajian menunjukkan bahawa perniagaan yang mengaplikasikan kerja secara alam maya ternyata lebih produktif. Gambar STEVE DING
oleh JIM FALTEISEK

Era ‘Berhenti Kerja Secara Besar-besaran – (Great Resignation)’ yang mula berlaku pada 2021 masih belum berakhir. Menurut salah satu kaji selidik pekerja global terbesar, satu daripada lima pekerja merancang untuk berhenti kerja pada tahun ini.

 

Apabila ditanya, apakah yang mendorong mereka untuk menukar kerja - kebebasan untuk memilih bila dan di mana mereka bekerja menjadi faktor penting menyumbang sebanyak 50% dan 47% bagi yang terlibat dalam kajian tersebut.

 

Namun, kita masih melihat banyak syarikat besar mendesak pekerja untuk kembali bekerja di pejabat, meskipun 56% pekerja di Asia Pasifik menegaskan bahawa mereka memilih masa kerja yang fleksibel, walaupun setelah pandemik berakhir bagi mengekalkan produktiviti.  

 

Ini menimbulkan persoalan – mengapa masih banyak syarikat yang degil dan mahukan pekerja kembali ke pejabat, walaupun berisiko kehilangan pekerja yang berkebolehan?

 

Terus terang, pada awalnya saya turut berasa bimbang sewaktu pandemik mula melanda negara. Bagaimana kami hendak membincangkan idea dan menjalankan usahasama sesebuah projek jika kami tidak berjumpa? Adakah kualiti kerja kami akan terjejas?

 

Tetapi pasukan kami berjaya bersatu padu dengan sungguh cemerlang. Tempoh waktu yang diberi dapat dipatuhi, matlamat kerja dicapai dan usahasama kami semakin teguh.

 

Malah, kajian menunjukkan bahawa perniagaan yang mengaplikasikan kerja secara alam maya ternyata lebih produktif. Kajian global Cisco menunjukkan bahawa 60% rakyat Malaysia percaya yang bekerja secara hibrid telah meningkatkan kualiti kerja mereka.

 

Tambahan juga, lebih kurang 6 daripada 8 golongan profesional di Malaysia mendapati terdapat kenaikan kadar produktiviti walaupun bekerja dari rumah. Hasilnya, 78% responden yang dikaji memilih untuk bekerja dari rumah di masa akan datang, sebagai indikasi yang menandakan terdapat peningkatan dalam kepuasan bekerja atau samada mereka akan meneruskan tugas mereka.    

 

Pandemik telah membuktikan bahawa pekerja masih boleh menjadi produktif dan berjaya, sama seperti berada di pejabat. Ia juga telah mengajar kami untuk fokus terhadap kualiti kerja, daripada terperuk di pejabat sepanjang hari yang sebenarnya suatu kaedah yang agak lapuk untuk mengukur prestasi.

 

 

JIM FALTEISEK
                                  JIM FALTEISEK

 


Paling penting, ia juga mengajar kami untuk mempercayai para pekerja akan melaksanakan tugas mereka sebaik mungkin, tanpa mengira bagaimana cara mereka bekerja, dan pentingnya untuk menzahirkan kepercayaan tersebut.

 

Kepercayaan ini sememangnya berbaloi. Kajian menunjukkan yang saling mempercayai dapat membina hubungan yang baik dan kukuh dengan pekerja, seterusnya dapat menjana pertumbuhan perniagaan dan meningkatkan prestasi.

 

Setelah berbulan bekerja dari jauh, model kerja berasaskan kepercayaan dilancarkan di seluruh organisasi global kami yang dipanggil 'Work Your Way' yang bukan sahaja menawarkan kerja yang fleksibel, hibrid atau dari jauh, bahkan mengangkat model kerja ini ke tahap yang baharu.

 

Membentuk “momen yang bermakna” bermula dari atas

Kepimpinan memerlukan fleksibiliti dan keupayaan menyesuaikan diri. Oleh itu, kami harus mencari cara untuk mencipta “momen yang bermakna” tanpa mengira samada pasukan kami bekerja di pejabat atau dari jauh.

 

Ini bermakna, perlunya merancang interaksi yang penting dan profesional secara strategik, baik di alam maya mahupun secara berdepan, dan ia mungkin berbeza bergantung kepada saiz pasukan, aturan kerja, kecenderungan dan personaliti. Ini juga melibatkan semakan prestasi, meraikan kejayaan penting, aktiviti kerja berpasukan dan banyak lagi. Walaupun momen ini mungkin tidak perlu secara bersemuka, tetapi penglibatan mereka penting untuk membincangkan cara mengenali mereka dengan efektif dan bermakna.

 

Oleh itu, saya mengambil masa untuk bertemu dan berkolaborasi secara bersemuka dengan pasukan saya di Korea, di mana saya ditugaskan. Untuk terus membina hubungan dengan wilayah Asia Pasifik dengan lebih meluas, yang juga merupakan tanggung jawab saya, saya akan mengadakan pertemuan antara wilayah dan sesi dialog bersama mereka.

 

Sebahagian daripada ketua kami juga telah memulakan mesyuarat secara atas talian dengan pasukan yang berbeza. Hasilnya, kami berpeluang untuk bertemu dengan semua ahli pasukan dengan lebih kerap di alam maya dan mendengar berbagai perspektif yang berbeza daripada mereka di mana ianya amat membantu kami menjadi ketua yang lebih baik.

 

 

parafrasa

 

 

Labur lebih banyak sumber untuk menjadikan pelaksanaan tugas di alam maya suatu kejayaan

Ramai golongan yang menentang kerja secara fleksibel dan dari jauh sering membangkitkan isu kesukaran pelaksanaan tugas melalui alam maya bagi pekerja baru. Membantu mereka menyesuaikan diri dengan perisian organisasi, prosedur dan budaya kerja berpasukan boleh menjadi mencabar. Pelaksanaan ini akan menjadi lebih rumit secara atas talian.

 

Perspektif ini amat difahami. Namun, saya mempertikaikan bahawa syarikat masih tercari-cari cara menjayakan pelaksanaan tugas di alam maya.

 

Berikut adalah cara untuk memperbaiki proses pelaksanaan tugas melalui alam maya. Organisasi harus menentukan prosedur pelaksanaan tugas untuk membantu pekerja baru menyesuaikan diri secepat mungkin walaupun mereka memilih untuk bekerja dari jauh. Ini boleh dilakukan dalam bentuk panduan atau video yang komprehensif buat para pekerja dan mengaturkan jadual mesyuarat rasmi dan tidak rasmi dengan ahli pasukan.

 

Sebagai tambahan, program khusus rangkaian jaringan untuk pekerja baru boleh membantu mereka berhubung dan mempelajari lebih lagi tentang budaya organisasi dengan lebih cepat. ‘New Employee Opportunity Network’ (NEON) kami adalah komuniti global yang menggalakkan hubungan dan perkembangan pekerja baru dengan memberi mereka rangkaian jaringan , pembangunan dan peluang kepimpinan yang bersesuaian dengan mereka supaya boleh memberi impak kepada strategi, budaya dan hasil yang diperoleh.

 

Masa hadapan pekerjaan – membenarkan pekerja bekerja dengan cara sendiri

Membenarkan pekerja bekerja dengan cara sendiri tidak akan menjejaskan kelangsungan perniagaan jika ianya diuruskan dengan baik. Kerja yang fleksibel tidak seharusnya ditentukan dengan jadual A atau B. Pekerja patut diberi kebebasan untuk menentukan waktu mereka masuk bekerja.

 

Selain 3M, syarikat-syarikat lain membenarkan pekerja mereka untuk memilih bagaimana, bila dan di mana mereka bekerja.

 

Cara untuk maju ke hadapan adalah dengan menawarkan model kerja yang berasaskan kepercayaan dan fleksibel. Inilah cara untuk terus mengekalkan pekerja yang berkebolehan, bermula daripada pekerja yang muda hinggalah ke ibu bapa yang bekerja.

 

Mengimbangkan kerja dan tugas keibubapaan sememangnya sangat mencabar. Dengan model kerja 3M yang baharu, ibu bapa boleh merancang tugas mereka dengan lebih baik, membolehkan mereka menikmati saat bersama keluarga tanpa perlu mengorbankan perkembangan kerjaya mereka.

 

 

parafrasa

 

 

Program kerja yang fleksibel bukan hanya untuk mereka yang bekerja di pejabat korporat sahaja. Melaksanakan jadual kerja yang fleksibel untuk pekerja lapangan adalah lebih mencabar namun ia satu misi yang penting untuk kami.

 

Sementara mereka yang berada di lapangan perlu menyambung kerja atas tuntutan kerja, pekerja lapangan di 3M ditawarkan bentuk kerja fleksibiliti yang berbeza seperti waktu mula dan henti kerja atau pertukaran syif yang fleksibel.

 

Kami telah menyaksikan hasil yang hebat hasil pelancaran model kerja baharu kami ini. Sebanyak 90% pekerja seluruh organisasi global kami menzahirkan bahawa mereka berasa disokong dalam satu kajian yang dijalankan baru-baru ini.

 

Hasil kajian ini telah membuktikan – daripada menumpukan cara mengembalikan pekerja ke pejabat, lebih baik kita mencari cara untuk memperkasakan pekerja dengan melaksanakan pekerjaan dengan lebih produktif. – DagangNews.com

 

JIM FALTEISEK adalah NAIB PRESIDEN KANAN, HAL EHWAL KORPORAT 3M ASIA DAN PENGARAH URUSAN 3M KOREA