Web Bytes, PUC jalin kerjasama bantu peniaga jual e-baucar pada platform Presto | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Web Bytes, PUC jalin kerjasama bantu peniaga jual e-baucar pada platform Presto

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Julai - PUC Bhd, penyedia rumusan pembayaran dan pemasaran digital serta penebusan kesetiaan inovatif mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Presto Technology Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Web Bytes Sdn Bhd  untuk bekerjasama membantu peniaga menjual e-baucar pada platform Presto.

 

Presto ialah aplikasi penebusan kesetiaan e-dagang PUC dengan lebih 10 juta ahli yang menganjurkan pelbagai program ganjaran kesetiaan terus ke dalam gerbang pembayarannya. 

 

Presto membenarkan pengguna untuk menyatukan dan menggunakan berbilang mata kesetiaan dalam satu transaksi. Matlamat utamanya adalah untuk memudahkan pengurusan katalog penebusan ganjaran rakan kongsi mereka.

 

Web Bytes memperkasakan lebih daripada 5,000 peniaga runcit dengan penyelesaian titik jualan Xilnex berasaskan awan di rantau ini. Melalui penjual semula dan rakan kongsi, Xilnex kini turut hadir di pelbagai negara ASEAN seperti Indonesia, Thailand, Kemboja, Vietnam dan Singapura dengan 30,000 pemasangan.

 

MoU itu melibatkan Xilnex merekrut dan memasukkan pedagang untuk menyenaraikan dan menjual e-baucar pada platform Presto manakala Presto akan bekerjasama dengan Xilnex dalam menyediakan e-baucar itu untuk ditebus kepada pengguna dan ahli Presto.

 

Ketua Pegawai Komersial Presto, Lim Ee Mae berkata, kerjasama itu memberi peluang kepada peniaga yang direkrut oleh Xilnex untuk meluaskan jangkauan mereka kepada khalayak yang lebih luas. 

 

"Peniaga mendapat akses kepada pangkalan pelanggan yang lebih besar dan rangkaian pengedaran yang lebih luas.

 

 

presto
                                       Lim Ee Mae

 

 

"Ini membolehkan mereka meningkatkan keterlihatan jenama mereka dan menarik pelanggan baharu yang merupakan sebahagian daripada rangkaian rakan kongsi kesetiaan Presto," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Web Bytes, Ooi Boon Sheng pula berkata, pihaknya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa mereka sedang dalam proses pengambilan dengan TeaLive, Marrybrown, Rangkaian SNS dan Wonders Café sebagai peniaga di platform itu. 

 

"Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan PUC, kerana kami percaya ia akan membawa manfaat yang besar kepada peniaga," katanya.

 

 

presto
                                         Ooi Boon Sheng

 

 

Pada Mei 2023, PUC mengumumkan bahawa kumpulan telah mencatatkan kerugian sebelum cukai (LBT) yang mengecil sebanyak RM4.64 juta pada suku pertama berbanding LBT sebanyak RM5.11 juta pada suku sama tahun kewangan sebelumnya untuk perniagaan Presto. 

 

Selain itu, Presto telah menandatangani kerjasama kesetiaan dengan VSING untuk memberikan ahli mereka lebih nilai untuk mata kesetiaan. - DagangNews.com