Waspada panggilan telefon individu menyamar sebagai pegawai MCMC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Waspada panggilan telefon individu menyamar sebagai pegawai MCMC

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

CYBERJAYA 12 Mei - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengingatkan orang ramai untuk berwaspada dengan panggilan oleh individu tidak dikenali menyamar sebagai pegawai MCMC dan mendakwa orang yang dihubunginya telah melakukan kesalahan.

 

MCMC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, peringatan tersebut dibuat susulan seorang pengadu telah dihubungi oleh individu bernama Mohd Azim Abdul Aziz yang memaklumkan bahawa talian telefon pengadu telah menghantar pautan-pautan judi dan lucah ke serata telefon di Negeri Sembilan. 

 

Katanya, pengadu terbabit dikehendaki membuat aduan dalam tempoh 30 minit dan sekiranya gagal untuk berbuat demikian boleh menyebabkan talian telefon pengadu disekat dan disenaraihitamkan oleh pihak penyedia perkhidmatan.

 

"Adalah dimaklumkan bahawa individu yang dimaksudkan iaitu Mohd Azim Abdul Aziz bukan kakitangan MCMC dan tidak pernah berkhidmat dengan pihak Suruhanjaya. 

 

"Pada masa yang sama, sebarang pengumuman atau pemakluman mengenai sesuatu urusan berkaitan dengan Suruhanjaya lazimnya dilakukan mengikut saluran rasmi seperti laman sesawang ataupun menerusi platform media sosial Suruhanjaya dan bukannya menggunakan nama individu, penggunaan bahasa yang meragukan serta nombor telefon bimbit persendirian," katanya.

 

Tambah kenyataan itu, MCMC menggesa orang awam untuk tidak mudah terpedaya dengan panggilan sedemikian oleh pihak tidak dikenali. 

 

"Pada masa sama, segera laporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk perhatian dan tindakan susulan," katanya. - DagangNews.com