Wakaf MAIK Muamalat dijenama semula, sasar tingkatkan kutipan sebanyak 20% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wakaf MAIK Muamalat dijenama semula, sasar tingkatkan kutipan sebanyak 20%

Majlis pelancaran penjenamaan semula Wakaf MAIK Muamalat / Gambar Hiasan dari Facebook Bank Muamalat Malaysia Berhad
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Platform saluran dana Negeri Kelantan, Wakaf MAIK Muamalat dijenamakan semula dengan logo baharu dan kod QR, membolehkan pelanggan berwakaf secara dalam talian dengan sasaran peningkatan kutipan sebanyak 20%.

 

Transformasi digital tersebut merupakan kerjasama Bank Muamalat Malaysia Bhd, Majlis Agama Islam dan adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, sumbangan diterima oleh Wakaf MAIK Muamalat akan diagihkan kepada projek-projek
wakaf di Kelantan khususnya sektor pendidikan, kesihatan dan pemerkasaan ekonomi masyarakat setempat, termasuk penajaan asnaf terpilih untuk menyertai program keusahawanan iTEKAD Bank Muamalat.

 

“Selain di Kelantan, pihak Bank juga menguruskan dana wakaf majlis agama Islam di Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Pahang.

 

“Bank Muamalat komited untuk menjadi peneraju agenda wakaf tunai melalui Kerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri-negeri untuk memperkasakan kemajuan ummah dalam menciptakan kehidupan lebih baik, bersama.

 

“Dalam pada itu, bagi menyahut seruan Bank Negara Malaysia dalam menyokong landskap perkhidmatan kewangan digital yang lebih memberangsangkan, Bank Muamalat juga telah menyediakan perkhidmatan wakaf digital di kelima-lima negeri ini bagi mempermudahkan urusan wakaf di setiap negeri,” katanya.

 

Sementara itu, pelancaran logo baharu dan kod QR Wakaf MAIK Muamalat telah dilangsungkan pada Ahad, bersempena Bulan Wakaf MAIK.

 

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.- DagangNews.com