VS Industry sedia bekerjasama dengan pihak luar tambah baik ESG, pelihara kebajikan pekerja asing | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

VS Industry sedia bekerjasama dengan pihak luar tambah baik ESG, pelihara kebajikan pekerja asing

 

 


KUALA LUMPUR 6 Dis - Pembekal pembuatan perkhidmatan elektronik (EMS) di Malaysia, VS Industry Bhd. bersedia untuk bekerjasama dengan pihak luar yang boleh menambah nilai dan memperkukuhkan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi memelihara kebajikan pekerja asing. 

 

Pengarah Urusannya, Datuk S.Y Gan berkata, kumpulan meletakkan keutamaan yang tinggi terhadap perkara berkaitan ESG dan komited untuk mengekalkan standard tadbir urus korporat yang tinggi.  

 

Katanya, pihak syarikat memberi penekanan terhadap usaha melindungi hak semua pekerja termasuk pekerja asing, kerana menguruskan jumlah pekerja asing ramai adalah satu cabaran yang besar. 

 

"Dalam hal ini, kami mempunyai kakitangan yang berpengalaman dan terlatih yang bertanggungjawab dalam pengurusan pekerja asing.

"Selain itu, kami juga mematuhi semua peraturan ditetapkan kerajaan berhubung pekerja asing kami dan lulus pemeriksaan audit terkini yang dijalankan Responsible Business Alliance (RBA), termasuk pelanggan utama kami tanpa sebarang isu penting diketengahkan

 

"Bagaimanapun, kami memahami dan menghargai kebimbangan yang dibangkitkan Pakar Hak Pekerja Migran, Andy Hall baru-baru ini ketika taklimat pelabur mengenai topik pekerja migran di Malaysia," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Antara kebimbangan yang dibangkitkan Andy Hall ketika taklimat itu termasuklah sejauh mana kesahihan penggunaan pekerja asing penyumberan luar melalui ejen pihak ketiga, risiko yang wujud dalam skim penyusunan semula kerajaan serta waktu bekerja, gaji sara hidup dan isu dialog sosial. 

 

Tetapi, Andy Hall menegaskan komen tersebut tidak bermakna rujukan secara langsung itu menunjukkan isu pekerja asing tidak boleh diperbaiki di VS Industry.

 

Sebaliknya, beliau memuji pengurusan VS yang sudi berhubung dengannya secara proaktif mengenai kebimbangan tersebut dan sudah pun berbincang mengenai isu kebajikan pekerja asing.

 

Sehubungan itu, Andy Hall turut mengesyorkan beberapa cadangan kepada pengurusan VS Industry untuk dipertimbangkan pihak syarikat dan secara tidak langsung akan memberi hasil yang bermanfaat kepada pekerja migran dan juga syarikat. - DagangNews.com