KUALA LUMPUR 2 Mac - Model SUV mewah saiz sederhana, Volvo XC90 telah memenangi anugerah Top Safety Pick+ oleh Insurance Institute for Highway Safety (IIHS) selepas institusi itu mengukuhkan syarat dan kriteria baharu lebih ketat untuk anugerah tersebut.
Setiap kenderaan memerlukan perlindungan pelanggaran sisi yang lebih baik, sistem pencegahan pelanggaran pejalan kaki dipertingkatkan dan penyingkiran lampu hadapan di bawah taraf daripada pilihan kenderaan yang layak.
Ketua Volvo Cars Safety Centre, Åsa Haglund berkata, sebahagian daripada visi Volvo Cars adalah untuk memastikan bahawa tiada sesiapa yang cedera parah atau mati dalam kereta Volvo yang baharu.
Katanya, syarikat itu telah meletakkan keselamatan sebagai keutamaan untuk segala yang Volvo lakukan.
“Volvo XC90 terus membuktikan, tahun demi tahun bahawa ia adalah antara kenderaan yang paling selamat di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perubahan terbesar pada kriteria TSP dan TSP+ melibatkan penggantian ujian pelanggaran sisi IIHS yang asal.
Ujian yang dikemas kini melibatkan 82% lebih tenaga dan memerlukan kenderaan memperoleh penarafan yang boleh diterima atau baik untuk melayakkan diri untuk TSP, manakala penarafan yang baik diperlukan untuk TSP+.

Kedua-dua versi hibrid ringan (XC90) dan hibrid plug-in (XC90 Recharge) XC90 telah mendapat anugerah TSP+. Selain ciri keselamatan yang dianugerahkan, XC90 Recharge menawarkan sehingga 77 kilometer (NEDC) atau 35 batu (EPA) pemanduan elektrik sepenuhnya dalam mod Pure.
Volvo Cars telah meletakkan kelestarian sebagai kepentingan sama taraf dengan keselamatan dan mengumumkan rancangan untuk menjual kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya menjelang 2030 dan menyasarkan untuk mencapai status neutral karbon menjelang tahun 2040.
Sah untuk masa yang terhad, pelanggan yang berminat dengan Volvo XC90 B5 Ultimate Mild-Hybrid ataupun Volvo XC90 Recharge T8 Plug-In Hybrid dapat menikmati pakej perkhidmatan lima tahun percuma (VSA5+) jika mereka membuat tempahan dari 1 Mac hingga 31 Mac 2023.
VSA5+ atau dikenali sebagai 'Volvo Service Agreement 5 Plus', ialah pakej perkhidmatan kereta komprehensif selama 5 tahun daripada Volvo Cars yang meliputi lima perkhidmatan kereta pertama termasuk item Wear and Tear yang mungkin perlu diganti.
Selain daripada Volvo XC90, Volvo Car Malaysia juga menawarkan VSA5+ untuk model Volvo S60, Volvo S90, Volvo V60, Volvo XC60 dan Volvo XC40 B5, manakala tempahan untuk Volvo XC40 Recharge Pure Electric akan disertakan dengan baucar soket pengecas kediaman (wallbox) percuma bernilai RM7,000. - DagangNews.com








