KUALA LUMPUR 9 Mac - Visa mengumumkan kerjasama dengan GHL Systems Bhd untuk membolehkan kemudahan 'Visa Instalments' diguna pakai untuk pembelian di dalam kedai, yang mana merupakan inisiatif pertama di Asia Pasifik.
Penyelesaian pembayaran ansuran Visa menukarkan kemudahan kredit pengeluar kad yang sudah diluluskan kepada pilihan pembayaran beli sekarang bayar kemudian (BNPL) di kaunter bayaran bagi pemegang kad Visa.
Mereka kini boleh membayar untuk produk yang dibeli dengan mudah menerusi ansuran bulanan sama rata di lebih daripada 3,000 gedung niaga yang menawarkan jenama busana, barangan kemas dan elektronik tempatan serta antarabangsa.
Kerjasama ini tepat pada masanya kerana penyelesaian BNPL semakin popular di negara ini.
Menurut edisi terbaharu Kajian Sikap Pembayaran Pengguna Visa, sekurang-kurangnya 87% pengguna Malaysia memanfaatkan kemudahan BNPL untuk membeli-belah.
Ketua Bahagian Produk bagi Rantau Asia Tenggara, Amitoj Sawhney berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama sekali lagi dengan GHL, kali ini untuk peniaga kedai, selepas pelancaran sulung Visa Instalments untuk pembelian e-dagang.
"Langkah memperkenalkan Visa Instalments untuk pembelian dalam talian mencerminkan komitmen kami untuk menyediakan penyelesaian inovatif, mudah dan terlindung bagi para pemegang kad yang dihargai," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif GHL Malaysia, Kevin Lee pula berkata, kerjasama yang lebih luas dengan Visa membuktikan komitmen pihaknya untuk memperkasakan kedua-dua peniaga dan pengguna, lantas terus meningkatkan keterangkuman kewangan.
"Kerjasama ini bukan sahaja memudahkan pengguna mendapatkan perkhidmatan kewangan, tetapi juga membantu para peniaga kami meningkatkan kadar jualan dengan menyediakan pilihan pembayaran yang fleksibel," katanya.
Peniaga GHL sedia ada yang telah mengguna pakai Visa Instalments untuk pembelian di kedai termasuk Mentari Unggul Optic, Spex Optic Group, Boston Time Square Sdn Bhd, Glories Gadget, E Spec Boutique, dan juga beberapa pengusaha kecil dan sederhana (PKS) lain. - DagangNews.com








