Velesto diunjur kembali catat untung pada FY23 dengan prospek separuh kedua 2022 lebih baik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Velesto diunjur kembali catat untung pada FY23 dengan prospek separuh kedua 2022 lebih baik

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 30 Ogos - CGS-CIMB Research menjangkakan Velesto Energy Bhd. akan kembali mencatat keuntungan pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) dengan keuntungan bersih teras berjumlah RM63 juta. 

 

Ini kerana menurut penganalisisnya, Raymond Yap berkata, prospek syarikat minyak dan gas (O&G) itu dilihat lebih baik pada separuh kedua meskipun mencatat kerugian bersih sebanyak RM89.37 juta pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2022. 

 

Beliau menjangkakan Velesto akan merekodkan kadar penggunaan jack-up yang lebih tinggi pada suku ketiga dan keempat ini, masing-masing pada 78% dan 95% berbanding 40% pada separuh pertama 2022.

 

Katanya, ia disebabkan kontrak penggerudian baharu yang diperoleh Naga 5 dan Naga 6 yang akan memulakan kerja pada Julai atau Ogos 2022 selepas melalui naik taraf 'offline'.

 

"Berikutan naik taraf ini, kedua-dua Naga 5 dan Naga 6 akan memulakan kadar sewaan harian (DCR) hampir AS$80,000 sehari daripada AS$72,000 sehari sebelum ini.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan Velesto akan mencatat keuntungan bersih teras sebanyak RM50 juta daripda kerugian bersih separuh pertama, menjadikan anggaran kerugian bersih bagi FY22 sebanyak RM38 juta," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022, syarikat pegangan 54.4% milik Permodalan Nasional Bhd. ini mencatat kerugian bersih berjumlah RM43.17 juta berbanding keuntungan bersih RM16.27 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Kerugian itu disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada segmen penggerudiannya dan perbelanjaan korporat yang lebih tinggi selepas mengiktiraf kerugian tukaran asing bersih yang lebih tinggi pada suku semasa.

 

Pendapatan bagaimanapun, meningkat 3.64% kepada RM86.6 juta daripada RM83.56 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, disebabkan kadar penggunaan yang lebih tinggi.

 

Bagi tempoh enam bulan, kerugian bersihnya melebar kepada RM89.37 juta daripada RM44.21 juta meskipun pendapatan meningkat 28.65% kepada RM164 juta daripada RM127.48 juta.

 

Menurut Yap, Velesto merancang untuk menaik taraf Naga 3 dan Naga 4 dengan keupayaan 'offline' supaya ia boleh menikmati struktur DCR yang lebih tinggi pada 2023 memandangkan empat daripada enam armada jack-up akan memiliki keupayaan 'offline'. 

 

Pada masa sama, katanya, kumpulan menandatangani kontrak dua tahun dengan Petronas mulai suku pertama FY22 hingga FY24 bagi menjamin penggunaan yang tinggi namun DCR berkadar tetap kepada Velesto, menghalangnya daripada menikmati DCR yang sedang meningkat berikutan kenaikan perbelanjaan modal (capex) global.

 

"Velesto sebelum ini memberitahu komuniti pelaburan bahawa ia cuba merundingkan semula DCR dengan Petronas dan, jika berjaya, ini akan menjadi satu lagi pemangkin penarafan semula yang berpotensi.

 

"Bagaimanapun, risiko kelemahan utama ialah inflasi kos perbelanjaan operasi (opex) kerana Velesto mungkin terpaksa menaikkan gaji krunya memandangkan pesaing cuba memburu anak kapalnya yang terlatih," jelasnya. 

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengulangi saranan 'tambah' terhadap Velesto dengan harga sasaran tidak berubah pada 11.5 sen memandangkan kumpulan dijangka mencatat keuntungan pada separuh kedua yang akan menjadi pemangkin kepada penarafan semula. 

 

Setakat 11.15 pagi, harga saham Velesto menokok 0.5% atau 5.88% kepada 9 sen dengan 8.12 juta saham diniagakan. - DagangNews.com