USIM dinobatkan juara keseluruhan Festival Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia 2022 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

USIM dinobatkan juara keseluruhan Festival Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia 2022

KUALA LUMPUR 5 Jan - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) muncul juara keseluruhan Festival Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (FEStKUM 2022) apabila menjuarai kategori Pertandingan Nyanyian Solo Lagu Melayu Asli di samping memenangi beberapa kategori pertandingan, baru-baru ini. 

 

Selain itu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjuarai dua daripada empat kategori iaitu kategori Pertandingan Sayembara Puisi dan kategori Rentak Bitara (band). 

 

Kategori Pertandingan Nasyid pula telah dimenangi oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) di samping mendapat Anugerah Kostum Terbaik. 

 

Seramai 350 mahasiswa daripada 14 universiti awam telah menyertai FEStKUM 2022 kali ke-7 tersebut yang dianjurkan oleh Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi.

 

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian berkata, beliau menyeru mahasiswa untuk menghargai seni budaya warisan bangsa yang menjadi identiti berharga dalam pembinaan ketamadunan sesebuah masyarakat dan negara.

 

“Pengetahuan seni budaya yang diajar kepada mahasiswa mampu menjadikan mereka sebagai agen penyatuan yang mengangkat nilai-nilai murni merentas agama, keturunan dan kaum dalam usaha memperkukuhkan perpaduan rakyat Malaysia,” katanya pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah FEStKUM 2022 di UPM. 

 

Menurut Megat Sany, festival tersebut juga merupakan platform terbaik bagi mencungkil bakat serta melahirkan pelajar kreatif dan berdaya saing dalam bidang kebudayaan serta kesenian.

 

Sementara itu, Pengerusi MAKUM, Prof Dr Arifin Abdu yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM berkata, universiti memainkan peranan besar untuk melestarikan kesenian dan kebudayaan negara daripada terhakis oleh arus kemodenan serta pengaruh budaya asing.

 

“Jangan kita meletakkan sepenuhnya tanggungjawab tersebut kepada badan-badan berteraskan kesenian dan kebudayaan atau kerajaan kerana universiti dan MAKUM memiliki generasi muda yang ramai untuk dibimbing bagi meneruskan amanah legasi pusaka ini,” katanya. - DagangNews.com