KUALA LUMPUR 7 Julai - Perjanjian usaha sama antara Sersol Bhd dan MJets Ltd untuk menceburi industri penerbangan swasta telah ditamatkan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Sersol berkata ia menerima notis penamatan daripada penyedia perkhidmatan sewa jet peribadi Thailand tersebut pada 4 Julai.
“Penamatan itu disebabkan kegagalan kedua-dua pihak melaksanakan skop perniagaan seperti yang dinyatakan dalam perjanjian usaha sama itu. Lembaga Pengarah telah memutuskan untuk menerima penamatan perjanjian itu,” kata syarikat pengeluar cat dan pelarut kimia tersebut.
Menurut Sersol, penamatan itu tidak akan memberi sebarang kesan material ke atas pendapatan kumpulan atau aset bersihnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23).
Pada 27 Disember tahun lepas, Sersol memeterai perjanjian utama (HOA) untuk membentuk syarikat usaha sama 50:50 bagi menawarkan perkhidmatan sewa pesawat, perkhidmatan pengendalian darat, pengurusan pesawat dan membawa masuk armada jet peribadi baharu ke Malaysia dan Indonesia.
Dalam makluman berasingan, Sersol telah melantik semula Pengarah Bebas kumpulan, Leong Lup Yan sebagai Pengerusi Eksekutif, menggantikan Datuk Lim Tiong Siang, yang telah dilantik semula sebagai Pengarah Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif.
Tiong Siang ialah bapa kepada pemegang saham utama Sersol dan baru-baru ini dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Justin Lim Hwa Tat.
Terdahulu, Sersol berkata ia telah menerima perintah mahkamah yang menghalang pengerusi eksekutifnya merangkap pengarah urusan, ketua pegawai eksekutif, pengarah eksekutif dan lima pengarah bebas daripada menggunakan kuasa mereka.
Saham Sersol dibuka tidak berubah pada 12 sen hari ini, menilai modal pasarannya pada RM87.8 juta.- DagangNews.com








