UPM, SAS bekerjasama perkasa industri akuakultur di Pahang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UPM, SAS bekerjasama perkasa industri akuakultur di Pahang

KUALA LUMPUR 17 Feb - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS) UPM memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Serandu Aquaponic System Sdn Bhd (SAS) dalam usaha mempertingkatkan perkembangan dan penyelidikan industri akuakultur di Pahang.


 
Kerjasama ini merupakan inisiatif menyokong hasrat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu untuk memperkasakan industri akuakultur dalam salah satu hala tuju dan fokus utama kementeriannya serta memastikan kerjaminan bekalan makanan.


 
Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata, melalui MoU ini penyelidikan dan pembangunan inovasi di antara penyelidik di I-AQUAS UPM bersama pihak SAS dapat ditambah baik menerusi aktiviti ternakan ketam renjong di dalam kolam HDPE lining.


 
“Aktiviti pemantauan dan kawalan penyakit udang putih (Penaeus Vannamei) di kolam ternakan SAS juga akan dilakukan I-AQUAS UPM, bahkan memberi khidmat nasihat penternakan rumpai laut, latok untuk tujuan kultur secara meluas.

 

“Kerjasama ini juga melibatkan penghasilan makanan akuakultur, pemantauan sistem ternakan secara IOT dan kerjasama yang akan dipersetujui kelak oleh kedua-dua belah pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dalam pada itu, I-AQUAS UPM menyumbang kira-kira 22,000 ekor ketam renjong, ketam bunga (spesies Portunus Pelagicus) bagi percubaan ternakan atau projek rintis di Serandu.

 

Menurut penyelidik projek, Prof Madya Dr Murni Marlina Abd Karim, ketam renjong digunakan sebagai projek rintis penyelidikan dan menambah lebih lagi pengeluaran hasil ternakan laut untuk dipasarkan kelak. 

 

 

upm

 

 

upm
                                                  Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman

 

 

"Di I-AQUAS UPM, kita sudah berjaya membuat pembenihan ketam renjong dan mendapat kerjasama dengan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) untuk membuat pelepasan ketam apabila terdapat permintaan daripada DOF. 

 

"Sekiranya penyelidikan ini menjadi kita akan pasarkan lagi benih ketam di peringkat lebih tinggi," katanya.

 

 

upm

 

 

Tambahnya, usaha ini juga mencapai matlamat empat Pelan Strategik UPM 2021-2025, memperkasakan pertanian dan ketahanan sekuriti makanan serta menonjolkan fungsi UPM sebagai sebuah menara ilmu yang memacu kecemerlangan bidang pertanian. - DagangNews.com